Syarikat Mungkin Boleh Beroperasi Penuh Sekiranya Pekerja Lengkap 2 Dos Vaksin – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersedia mempertimbangkan kebenaran kepada syarikat untuk beroperasi pada kapasiti penuh sekiranya semua pekerja telah lengkap dua dos vaksin COVID-19, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah menyelaras Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) sebagai galakan kepada syarikat dan industri untuk menggunakan premis mereka sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan menjalankan program imunisasi kepada pekerja.

Menurutnya, kerajaan akan menyediakan bekalan vaksin manakala pihak syarikat atau kilang akan memudahcara urusan logistik yang berkaitan.

“Kerjasama ini penting untuk membolehkan negara mempertingkatkan kadar vaksinasi dengan segera supaya penularan berterusan di tempat-tempat kerja dapat diputuskan dan dikawal dengan lebih baik,” katanya semasa mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat Dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang disiarkan secara langsung, hari ini.

Muhyiddin berkata bagi menggalakkan pelaksanaan PIKAS dan mengurangkan tanggungan syarikat, kerajaan akan menyediakan peruntukan sebanyak RM150 juta.

Menurutnya, kerajaan bersetuju majikan yang berdaftar di bawah Perbadanan Sumber Manusia Bhd atau HRD Corp boleh menggunakan baki levi semasa sehingga 10 peratus bagi kos pengurusan dan pembelian vaksin COVID-19.

Kerajaan juga akan memberi potongan cukai ke atas perbelanjaan merangkumi kos peralatan dan perkhidmatan penyediaan PPV oleh majikan.

Selain itu, katanya, potongan cukai ke atas sumbangan COVID-19 melalui projek komuniti atau amal juga diperluaskan meliputi sumbangan kepada PPV.

Perdana Menteri berkata, statistik sehingga 26 Jun menunjukkan bahawa sejumlah tujuh juta dos telah berjaya dibekalkan kepada rakyat iaitu merangkumi lima juta orang.

Sebanyak 15.5 peratus telah menerima dos pertama dan hampir dua juta orang atau enam peratus telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

Menurutnya, perkembangan itu menunjukkan Malaysia telah berjaya mengekalkan kadar pemberian vaksin secara purata melebihi 200 ribu sehari dalam tempoh tujuh hari lalu.

Selain itu, seramai 16.3 juta orang telah berdaftar untuk mendapatkan bekalan vaksin setakat ini, katanya.

“Melihat kepada pencapaian ini, kerajaan optimis bahawa segala usaha yang dirancang berada di landasan yang tepat.

“Sehubungan itu, bagi meningkatkan kapasiti dan mempercepat pemberian vaksin kepada rakyat, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan atau PICK akan terus diperkasa,” tambahnya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat