PDRM Mohon Notis Merah INTERPOL Cari Ganesparan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuat permohonan semula kepada Polis Antarabangsa (INTERPOL) bagi mengeluarkan notis merah terhadap seorang rakyat Malaysia di Jerman yang dikehendaki kerana mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan, perkauman serta jelik terhadap institusi diraja dan kerajaan menerusi satu rakaman video, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan, berkata PDRM pernah mengemukakan permohonan notis merah ke atas N Ganeparan, 39, kepada INTERPOL melalui surat bertarikh 22 Disember tahun lalu, namun ditolak.

“Jadi nak kata INTERPOL ini tak layan pun (permohonan), kami pun tak tahu apa statusnya disebabkan mereka mengatakan hak bersuara bagi orang ramai terpelihara dan tidak boleh dicampuri.

“Permohonan kami ditolak oleh INTERPOL dengan merujuk kepada Artikel 3 Perlembagaan dan Peraturan Interpol yang menyebut bahawa organisasi adalah dilarang campur tangan berkaitan watak politik, ketenteraan, agama dan kaum dalam mengeluarkan sesuatu notis merah ke atas mana-mana individu yang dikehendaki pihak berkuasa sesebuah negara.

“Ini tidak akan melemahkan semangat PDRM untuk meminta INTERPOL agar notis merah dikeluarkan ke atas Ganesparan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau sebelum itu melakukan lawatan kerja ke Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Jenayah Berat (D9), di Bangunan KPJ di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya proses rayuan akan dikemukakan semula kepada INTERPOL untuk membolehkan pihak berkuasa antarabangsa itu memberi kerjasama kepada PDRM dan mengeluarkan notis merah yang diperlukan untuk mendapatkan individu itu yang kini bebas di Jerman.

Kelmarin, Abd Jalil dalam kenyataan, berkata satu siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5), JSJ Bukit Aman ke atas Ganesparan selepas tular satu video bertajuk ‘Racist in Vacine Malaysia’ dimuat naik di laman Facebook lelaki itu.

Katanya, lelaki di dalam video itu mendakwa vaksin berkualiti rendah dan tidak berkesan dari China jenama ‘Sinovac’ diberikan kepada golongan bukan muslim manakala muslim diberikan vaksin berkualiti tinggi jenama ‘Pfizer’.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Tahun lalu, PDRM turut menjalankan siasatan terhadap Ganeparan susulan dakwaannya melalui satu rakaman video kononnya lebih 200 tahanan lokap mati akibat kekerasan polis antara 2000 hingga 2014.

Mengulas lanjut, Abd Jalil berkata, PDRM tidak akan berputus asa dalam usaha mendapatkan serta membawa pulang individu terbabit ke negara ini untuk dihadapkan ke muka pengadilan secepat mungkin.

“Kita akan berusaha meyakinkan INTERPOL untuk mengeluarkan notis merah ke atas Ganesparan dengan mengambil kira faktor dan persekitaran budaya rakyat di negara Malaysia.

“Rakyat akan gusar dan risau jika tidak membetulkan keadaan bagi menangani hasutan tidak berasas oleh suspek yang dikehendaki ini.

“Inilah yang PDRM sangat utamakan dan kita mahu memaklumkan kepada INTERPOL bahawa notis merah ke atas Ganesparan sangat wajar dan perlu disegerakan,” katanya.

– New Straits Times

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat