KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Puad Zarkashi mendakwa Datuk Seri Rafizi Ramli terselamat daripada menjadi mangsa kerat 2.0.
Puad malah berkata bekas Menteri Ekonomi itu kini tidak lagi perlu bertanggungjawab kepada janji reformasi yang dicanang PKR.
“Pemilihan PKR menjadi medan parti itu dikoyak rabakkan reputasinya oleh Rafizi. Rafizi kata, reformasi PKR gagal. Justeru geng dia bangkit demi hidupkan reformasi tulen.
“Dia bawa slogan HIRUK (Hidupkan Idealisme Reformasi Ujian Kuasa). Apabila tuduh (Datuk Seri) Anwar Ibrahim dan PKR gagal melaksanakan reformasi secara tidak langsung dia juga menuduh kerajaan gagal.
“Berlaku perebutan, siapa pendokong reformasi tulen. Apabila Rafizi masuk ke dewan, penyokongnya menjerit “reformasi”. Bila Anwar tutup ucapan penggulungannya, dia juga melaungkan reformasi.
“Ternyata reformasi hanya hiruk pikuk. Ia gagal bukan kerana ujian kuasa tetapi kurang upaya menjayakannya. Slogan itu hanya retorik. Bagaimana reformasi akan berjaya kerana Rafizi sendiri tuduh sistem pemilihan PKR korup? Soal Puad dalam hantaran di Facebooknya pada Rabu.
Tambah Adun Rengit itu lagi Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari memberitahu mesyuarat khas akan bincang peranan buat Rafizi.
“Tetapi Rafizi umum letak jawatan Menteri (Ekonomi). Dia terselamat daripada jadi mangsa kerat 2.0.
“Janji reformasi bukan lagi tanggungjawabnya. Ia beban kepada PMX. Siapa akan kerat siapa? kata Puad.