Harimau Malaya Bakal Guna ‘Senjata Rahsia’ Di UAE?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya yang sedang dalam persiapan akhir menghadapi baki kempen pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Timur Tengah, dijangka menggunakan ‘senjata rahsia’ pada saingan itu.

Spekulasi kini bertiup kencang bahawa pemain berdarah kacukan Belgium-Malaysia, Dion Cools yang pernah beraksi dalam saingan Liga Juara-juara Eropah bersama FC Midtylland, akan menyertai skuad kendalian Tan Cheng Hoe.

Ia berikutan kenyataan yang dimuat naik di laman sesawang kelab Denmark itu, menyatakan pemain berusia 24 tahun berkenaan mendapat panggilan pertama untuk menyertai pasukan kebangsaan Malaysia.

Sejurus selepas perkara itu menjadi tular di laman sosial dalam kalangan peminat bola sepak tanah air, FC Midtylland telah memadamkan nama pemain berkenaan dan menukarkan senarai 16 pemain pasukan itu yang menerima panggilan pasukan kebangsaan masing-masing kepada 15 nama sahaja.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini pernah cuba membawa pemain yang beraksi di posisi pertahanan kanan itu untuk beraksi bersama skuad Harimau Malaya, namun Cools dikatakan tidak bersedia ketika itu kerana mahu terlebih dahulu memfokuskan kariernya di Eropah.

Pengurus pasukan kebangsaan Datuk Mohd Yusoff Mahadi ketika dihubungi hari ini, bagaimanapun tidak mahu mengulas mengenai perkembangan terbaru itu menjelang aksi persahabatan Tier 1 menentang Bahrain di Manama, malam esok.

Sekiranya betul Cools yang mempunyai 28 penampilan bersama skuad Bawah-21 dan remaja Belgium itu dapat menyarung jersi Harimau Malaya kali ini, sudah tentu ia menjadi tonik tambahan buat pasukan negara dalam menghadapi kempen kelayakan itu di Dubai.

Malaysia, yang menghuni ranking ke-153 dunia, akan bertemu pasukan di kedudukan ke-73 dunia, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 3 Jun; Vietnam (11 Jun) yang berada di kedudukan ke-93 dunia; dan pasukan ke-106 dunia, Thailand (15 Jun).

Cools, di mana bapanya warga Belgium, manakala ibunya rakyat Malaysia, masih layak beraksi untuk Malaysia di peringkat senior.

Lahir di Kuching, Sarawak, pemain dengan ketinggian 1.85m itu telah diturunkan sebanyak 32 kali oleh FC Midtylland sepanjang musim 2019/20 dan 2020/21, termasuk tiga kali dalam saingan Liga Juara-juara Eropah.

Beliau memberikan persembahan yang memberangsangkan apabila berdepan pemain Liverpool FC seperti Mohamed Salah, Roberto Firmino dan Diogo Jota dalam aksi Kumpulan D Liga Juara-juara Eropah musim ini.

Cools, yang dilaporkan turut boleh beraksi di posisi pertahanan tengah dan kiri, boleh memberikan cabaran sengit kepada pemain negara Matthew Davies, Syahmi Safari dan Mohd Rizal Ghazali di posisi pertahanan kanan.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat