Dakwaan Skandal ‘Watergate’ Baharu Libatkan Mohd Khairuddin Tidak Benar – LGM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengurusan Lembaga Getah Malaysia (LGM) hari ini menafikan dakwaan berlaku penyelewengan dalam urusan jual beli serta urusan pajakan dua lot tanah miliknya di Jalan Ampang, seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, LGM menegaskan bahawa belum ada sebarang urusan penjualan, pajakan atau urus niaga berkaitan dua lot tanah milik LGM iaitu Lot 20012 dan Lot 20013 (masing-masing nombor lama dikenali sebagai Lot 75 dan Lot 76) di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Semua penjualan atau pajakan tanah milik LGM, menurut kenyataan itu lagi, perlu mendapat perakuan Lembaga dahulu sebelum dimajukan kepada Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali untuk kelulusan.

“LGM telah menerima permohonan daripada beberapa syarikat bagi membeli Lot 20012.

“Pertimbangan akan dibuat selaras dengan penilaian oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Kementerian Kewangan, dan pandangan Jabatan Warisan Negara.

“Bagi Lot 20013, tawaran pajakan telah dibuat secara tender terbuka dan telus oleh LGM Properties Corporation (LGMPC) iaitu perbadanan milik LGM, pada Oktober 2020,” menurut kenyataan itu lagi.

Pada Khamis, tular di media sosial mengenai dakwaan bahawa urusan penjualan beli tanah milik LGM bakal menjadi skandal ‘Watergate’ terbaharu negara ini.

Ia susulan kononnya Mohd Khairuddin telah bersetuju untuk menyewa lot tanah berkenaan dengan harga RM0.70/kaki kepada Al Noor Foundation.

Dalam dua dokumen yang dilihat Astro AWANI, LGM juga didakwa bersetuju dengan kadar sewaan 25 tahun dengan kenaikan 10 peratus setiap lima tahun.

Selain itu, dokumen tersebut turut mendakwa Mohd Khairuddin bersetuju menjual Lot 75 dengan harga RM1,037 sekaki kepada sebuah syarikat yang dikenali sebagai Eurowhite Sdn Bhd.

Ia mendakwa harga tersebut adalah jauh lebih rendah daripada penilaian hartanah iaitu RM1,400 sekaki.

Dalam pada itu, LGM berkata, keputusan bagi pajakan Lot 20013 dan penjualan Lot 20012 masih belum diputuskan Lembaga Pengarah LGM, sekali gus bermaksud ia belum dimajukan untuk pertimbangan dan persetujuan Mohd Khairuddin selaku menteri bertanggungjawab.

“LGM menegaskan tidak ada sebarang perjanjian pajakan atau transaksi jual beli yang termeterai dengan mana-mana pihak.

“Mengikut peraturan, semua penilaian hartanah sama ada untuk pajakan atau penjualan akan dirujuk kepada JPPH sebelum kadar pajakan serta nilai pasaran semasanya ditentukan supaya memberi pulangan hasil yang terbaik untuk LGM,” menurut kenyataan itu lagi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,609FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat