Skandal kapal selam, Anwar tuntut penjelasan kerajaan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak kerajaan dan pihak terlibat untuk segera menyatakan pendirian dan menjelaskan bagaimana watak-watak yang terlibat dapat dihadapkan ke muka pengadilan di Malaysia.

Ini susulan Mahkamah Perancis mendakwa syarikat aset pertahanan, Thales kerana terbabit dalam skandal rasuah transaksi penjualan kapal selam kepada Malaysia pada 2002.

“Saya meneliti laporan terkait Mahkamah Perancis yang mendakwa syarikat aset pertahanan, Thales kerana terbabit dalam skandal rasuah transaksi penjualan kapal selam kepada Malaysia pada 2002.

“Kes ini berlangsung dan dibicarakan di Paris, Perancis, dan pihak berkuasa Malaysia seolah ambil ringan dan aspek keadilan nampaknya tidak menjadi isu besar untuk disegerakan.

“Saya mendesak agar kerajaan dan pihak terlibat untuk segera menyatakan pendirian dan menjelaskan bagaimana watak-watak yang terlibat dapat dihadapkan ke muka pengadilan di Malaysia,” desak Anwar dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut laporan AFP, kes yang mencetuskan polemik itu pada asalnya dibuka pada 2010 dan akhirnya memberi kesan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Najib adalah Menteri Pertahanan ketika perjanjian perolehan dua kapal selam kelas Scorpene dan sebuah Agosta dari unit limbungan tentera laut DCN Perancis (kini sebahagian daripada Thales) itu ditandatangani, membabitkan nilai kontrak AS$1.2 bilion (RM5,2 bilion).

Pembantu Najib, Abdul Razak Baginda, bertindak sebagai penasihat perjanjian pembelian itu dan beliau dituduh menyembunyikan kos tambahan 114 juta euro (RM529 juta) bagi kerja perunding oleh sebuah firma yang mana Abdul Razak adalah pemegang saham terbesar.

Wang berkenaan kemudian didakwa diberikan kepada Najib, yang berdepan siri pertuduhan sejak pemerintahannya ‘tumbang’ pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Razak Baginda didakwa di perancis pada 2017 manakala Najib pernah disoal siasat berhubung isu sama di Malaysia.

Sumber berkata, kesemua sembilan defendan, termasuk Thales didakwa di Perancis dan penyiasatan berhubung kes terbabit ditutup pada Januari lalu.

Mereka termasuk bekas pengerusi limbungan tentera laut Perancis, unit antarabangsa DCN, Philippe Japiot dan bekas Ketua Eksekutif Thales, Jean-Paul Perrier, selain dua lagi bekas eksekutif.

Keempat-empat mereka menafikan sebarang salah laku dan Kerajaan Malaysia menyatakan bahawa kontrak berkenaan bebas daripada elemen rasuah.

Thales ketika dihubungi AFP berkata pihaknya menolak sekeras-kerasnya dakwaan berkenaan.

Pendakwa dari pejabat jenayah kewangan Perancis, PNF kini perlu mempertimbangkan untuk menerima sebarang permohonan lanjut daripada hakim berkenaan, bagi menentukan sama ada kes terbabit dibicarakan atau sebaliknya, meskipun rayuan sudah difailkan pada Mei tahun lalu.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat