Isham akan lapor polis, beri Sanusi 48 jam minta maaf dan tarik balik tuduhan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN), Isham Jalil membuka peluang 48 jam untuk Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bagi meminta maaf dan menarik balik dakwaan kononnya minit mesyuarat PASLeaks direka oleh Isham.

Kata beliau, sekiranya Sanusi gagal berbuat demikian dalam tempoh 48 jam tindakan undang-undang akan diambil.

“Sebagai orang Islam, saya perlu beri dia (Sanusi) peluang untuk tebus dosa atau mohon maaf. Oleh itu saya beri tempoh 48 jam kepada Sanusi untuk meminta maaf kepada saya dan menarik balik apa yang dia kata, jika tidak saya akan mengambil tindakan selanjutnya.

“Oleh kerana saya tahu Sanusi akan takut untuk bersumpah laknat dan akan mencari pelbagai alasan untuk mengelak seperti juga (Datuk Seri) Samsuri, saya setuju dengan saranan netizen dan saya akan membuat laporan polis esok dan menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat kesalahan fitnah Sanusi tersebut. Sebelum kita saman-menyaman, kita buat laporan polis dulu,” tegas Isham dalam catatan di Facebooknya pada Khamis.

Isham memberitahu tidak ada sesiapa yang boleh terlepas daripada undang-undang jika mereka memfitnah, tidak kira sama ada orang biasa mahupun menteri besar. Undang-undang tidak mengira status atau jawatan.

“Jika Sanusi tahu undang-undang, tentunya dia tidak akan terlepas cakap apa yang dia telah sebut di atas. Sebab perkara-perkara di atas adalah tuduhan terbuka yang membawa unsur-unsur fitnah yang berniat jahat untuk menjatuhkan reputasi seseorang.

“Dalam Islam, fitnah itu adalah lebih besar dosanya daripada membunuh.

“Mengikut undang-undang, penggunaan perkataan “mungkin” tidak melepaskan dia daripada kesalahan memfitnah: insinuasi, innuendo dan kiasan juga boleh membawa elemen fitnah dalam undang-undang tort mahupun jenayah,” ujar beliau.

Kata Isham lagi, oleh itu Sanusi boleh didakwa dengan kesalahan memfitnah jenayah atau “criminal defamation” di bawah Seksyen 499 Akta 574 Kanun Keseksaan Malaysia dan ia membawa hukuman 2 tahun penjara di bawah seksyen 500 akta yang sama.

“Semalam saya sarankan agar Sanusi dan Samsuri bersumpah laknat menyatakan bahawa mereka tidak terlibat dan tidak pernah berbincang seperti dalam minit mesyuarat tersebut. Dan saya pun akan bersumpah laknat bersama mereka kerana saya berani kata bahawa tuduhan Sanusi kepada saya itu adalah fitnah melulu terhadap saya kerana saya tidak ada kaitan pun dalam penyediaan minit mesyuarat tersebut.

“Namun saya rasa, Sanusi juga seperti Samsuri akan takut untuk bersumpah laknat. Sebab jika mereka tipu mereka tahu mereka akan dilaknat di dunia dan akhirat,” bidas beliau.

Menurut Isham, minggu lepas beliau telah saran supaya Menteri Besar Terengganu Samsuri mengangkat sumpah laknat apabila dia menafikan minit mesyuarat yang mereka ada berbincang atau berkomplot untuk menjatuhkan dan menyumbat pemimpin-pemimpin UMNO ke dalam penjara setelah minit mesyuarat itu tular.

“Kandungan minit mesyuarat itu adalah suatu perkara yang serius dan tidak boleh diambil enteng kerana ia melibatkan banyak unsur konspirasi, komplot dan jenayah.

“Samsuri gelar minit mesyuarat itu sampah dan takut untuk bersumpah laknat yang dia tidak terlibat atau pernah berbincang seperti dalam minit mesyuarat tersebut.

“Semalam dengan tidak semena-mena Menteri Besar Kedah Sanusi pula tiba-tiba memetik nama saya, dia kata kononnya minit mesyuarat itu “mungkin ditulis” oleh saya, saya “ada kepentingan” kepada dokumen itu, saya “menggunakan dokumen itu”, dan orang macam saya “ada potensi untuk membuat dokumen itu”.

Semalam, Sanusi dalam sidang medianya beranggapan dokumen itu dibuat laskar siber pihak yang dapat kepentingan daripada dokumen itu, contohnya Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Isham Jalil.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat