Lagu raya baharu tiada jiwa

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ibarat lagu bertukar tempo, gendang bertukar rentak palunya. Mungkin itu gambaran sesuai untuk menceritakan lagu raya evergreen yang diberi nafas baharu.

Ia tidak ubah seperti ‘trend’ masa kini apabila kebanyakan penyanyi tak kira baharu atau lama memilih merakamkan semula dengan memberi nafas baharu lagu raya evergreen yang menjadi pilihan pendengar zaman berzaman.

Tidak dinafikan, sambutan Aidilfitri bagaikan tidak lengkap tanpa lagu raya berkumandang. Lagu raya evergreen terus menjadi siulan dalam membangkitkan semangat dan nostalgia hari raya.

Berbeza lagu baharu, kebanyakannya dilihat tidak mempunyai emosi untuk menarik pendengar menikmati suasana Aidilfitri.

Aura dan keunikan pada lagu raya evergreen tetap utuh membuatkan ramai penyanyi berminat merakamkan semula lagu lama dengan cara dan gaya tersendiri.

Antaranya, lagu evergreen, Balik Kampung nyanyian Allahyarham Datuk Sudirman Arshad yang diberikan nafas baharu oleh lima penyanyi muda, Yonnyboii, Kmy Kmo, Luca Sickta, Siqma dan Asyraf Nasir.

Muzik yang disusun semula dan diterbitkan oleh Luca Sickta itu ditambah dengan kreativiti mereka berlima yang pernah muncul dengan lagu Rap Der Raya, tahun lalu.

Yonnyboii berkata, mereka memilih lagu Balik Kampung kerana sifatnya yang penuh dengan nostalgia.

“Lagu Balik Kampung adalah karya penuh nostalgia. Apabila dengar sahaja bahagian korus lagu Balik Kampung, ia sekali gus membuatkan kita mengimbas semula memori pulang ke kampung, apatah lagi, dua tahun tidak dapat menyambut Syawal bersama keluarga dan sanak saudara.

“Lirik ditulis juga menyentuh apa yang berlaku selama dua tahun ini. Antaranya, kita tidak dapat menyambut Syawal ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu,” katanya kepada BH Online.

 

Shidee lebih gemar merakamkan lagu raya baharu, namun, tidak menolak hakikat lagu evergreen lebih menarik perhatian pendengar.
Shidee lebih gemar merakamkan lagu raya baharu, namun, tidak menolak hakikat lagu evergreen lebih menarik perhatian pendengar.

 

Bagaimanapun, Yonnyboii berkata, pengolahan semula itu bukanlah bermaksud mereka mahu merosakkan lagu asal. Ini kerana hasrat mereka hanyalah mahu memberikan sentuhan lebih segar buat pendengar yang sukakan kelainan.

“Perkara ini sebenarnya subjektif dan terpulang pada pendapat dan selera masing-masing. Bagi saya, ia adalah lagu yang diberi nafas baharu, jadi tidak semestinya kena sama dengan lagu asal.

“Jadi, kalau ada orang yang cita rasanya lebih kepada lagu rap, boleh dengar olahan semula lagu Balik Kampung yang lebih segar ini. Jika tidak, boleh dengar versi lagu asal,” katanya.

Seterusnya, lagu evergreen, Suasana Hari Raya nyanyian asal Anuar Zain dan Ellina Razak dipilih untuk diberikan nafas baharu oleh barisan penyanyi berpengalaman, Adibah Noor, Shidee, Ani Mayuni, Azan Scan, Bandi Amuk, Aliff Aziz, Aweera, Saiful Apek, Yassin Yahya, Nikki Palikat dan Suki Low.

Memilih judul Suasana Di Hari Raya Famili Kita, idea mengolah semula lagu berkenaan dicetuskan oleh Ani Maiyuni dalam perbualan kosong bersama Azan Scan.

Ia menjadi kenyataan apabila 16 penyanyi bergabung dalam menyanyikan lagu Suasana Hari Raya versi baharu.

Secara peribadi, kata Shidee, dia lebih gemar merakamkan lagu raya baharu, bagaimanapun tidak menolak hakikat bahawa lagu lama lebih menarik perhatian pendengar.

“Saya ada mencadangkan memilih lagu raya baharu, tetapi mereka beranggapan lagu raya baharu sukar diterima pendengar. Mereka percaya menghasilkan lagu raya lama dengan nafas baharu pastinya dapat memikat pendengar.

“Saya tidak menafikannya, lagu raya evergreen berkualiti dan unik. Pendapat saya, lagu raya mestilah berbentuk klasik barulah dapat menjentik hati pendengar.

“Janganlah buat lagu raya berkonsepkan rock n roll dan seumpamanya. Sambutan Syawal memanglah gembira, tetapi ada yang bersedih, jadi bagaimana kita sebagai penyanyi mahu menyampaikan lagu yang sesuai dengan dua-dua perasaan ini?,” katanya.

Shidee memberikan contoh lagu yang menambat hati iaitu Pulanglah nyanyian Datuk Aishah dan Musafir Di Aidilfitri oleh Allahyarham Datuk Ahmad Jais.

“Kalau ikutkan, lagu ini berentak biasa sahaja, tetapi mempunyai maksud yang mendalam. Orang Melayu kita sukakan lagu sedih dan membuai perasaan. Selalunya jika saya nyanyikan lagu ini pada musim raya, pendengar memang suka.

“Bagi saya, pendengar lebih menggemari bunyian klasik dalam menggamit memori ketika sambutan Lebaran,” katanya.

 

Achik memilih memberikan nafas baharu kepada lagu Bermaafan Di Aidilfitri, digubah kepada rentak lebih rancak dan moden.
Achik memilih memberikan nafas baharu kepada lagu Bermaafan Di Aidilfitri, digubah kepada rentak lebih rancak dan moden.

 

Selain itu, penyanyi baharu, Achik yang juga vokalis kumpulan Ukays turut mengambil peluang merakamkan semula lagu raya ciptaan komposer, Salman Shariff dan lirik oleh Khairul Anuar, iaitu Bermaafan Di Aidilfitri.

Kata Achik, lagu itu diberikan nafas baharu dengan tujuan ia terus popular dan boleh didengar ketika meraikan Syawal,

“Lagu Bermaafan Di Aidilfitri versi asalnya berentak Melayu Arab dan dirakamkan oleh Amir Ukays pada 1995. Sehingga kini ia terus kekal sebagai antara lagu popular dan sinonim dengan sambutan Aidilfitri.

“Jadi, saya memilih memberikan nafas baharu pada lagu Bermaafan Di Aidilfitri, di mana ia digubah kepada rentak lebih rancak dan moden, namun, menggunakan judul sama,” katanya.

Tambah Achik, perancangan awal merakamkan semula lagu Bermaafan Di Aidilfitri datangnya daripada komposer dan penerbit lagu itu sendiri, Salman.

“Saya gembira ditawarkan menyanyi semula lagu evergreen ini. Kerana, ia memberi peluang untuk saya terus menonjol dan aktif semula. Mungkin ada yang fikir saya tidak aktif dalam industri muzik.

“Sebenarnya, saya masih berada dalam industri muzik dan tetap aktif membuat persembahan bersama Ukays. Insya-Allah, saya akan terus aktif dengan kehadiran lagu Bermaafan Di Aidilfitri,” katanya yang pernah muncul single pertama berjudul Hanya Doa ciptaan Awang BPR di bawah label, Luncai Emas.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,602FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat