KUALA LUMPUR – Penentuan kerusi yang akan ditandingi oleh Umno Sabah Bahagian Tuaran adalah keputusan Umno bahagian itu sendiri dan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Keputusan pengagihan kerusi bukan keputusan sembarangan oleh seorang individu tanpa ada perbincangan dengan Umno Sabah Bahagian Tuaran, tegas Timbalan Ketua Umno Sabah Datuk Seri Rahman Dahlan yang juga Ketua Umno Tuaran.
Beliau mengingatkan bahawa autonomi bukan bermakna satu orang saja membuat keputusan.
“Kalau seorang saja siok-siok membuat keputusan, itu bukan autonomi, itu autokrasi.
“Jadilah demokrat, bukan autokrat,” tegas Rahman dalam catatan di Facebooknya pada Jumaat.
Hantaran itu hadir tanpa menamakan mana-mana pemimpin, kenyataan Rahman itu menyusul selepas laporan portal berita bahawa Ketua Umno Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berhubung kesediaan parti berkenaan meletakkan bekas menteri persekutuan terbabit bertanding di salah satu daripada empat DUN bawah Parlimen Tuaran pada PRN.
Selain Sulaman yang disandang Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, DUN lain adalah Pantai Dalit, Tamparuli dan Kiulu. Pada PRN 2020, Pantai Dalit dimenangi Barisan Nasional (BN) menerusi Jasnih Daya yang tiga tahun kemudian keluar Umno untuk menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).
Bung berkata kedudukan Rahman sebagai ketua Umno Tuaran dan berasal dari Sulaman mungkin melayakkannya mewakili BN di kawasan terbabit.
Untuk rekod, Rahman pernah menjadi Ahli Parlimen Kota Belud dari 2008 hingga 2018 sebelum berpindah ke Parlimen Sepanggar pada PRU14, namun beliau kalah kepada calon Warisan Azis Jamman.
Pada PRU15, beliau kembali ke Kota Belud tetapi sekali lagi tewas. Kali itu di tangan Isnaraissah Munirah Majilis daripada Warisan dengan majoriti 4,582 undi.
Bung mengulas laporan media Selasa lalu memetik kenyataan Rahman yang sedia memberi laluan jika parti memutuskan tidak mencalonkannya pada PRN tahun ini.
Namun, bekas menteri persekutuan itu menjelaskan beliau akan mempertimbangkan jika parti memerlukannya bertanding.