KPKT Kenal Pasti Status Terkini Projek Perumahan Lewat, Sakit Dan Terbengkalai

- Advertisement -

CYBERJAYA – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengenal pasti status terkini projek perumahan lewat, sakit dan terbengkalai di seluruh negara melalui mesyuarat Task Force Bil 3/2023 yang telah diadakan pada 15 Mac 2023 yang lalu dan dipengerusikan Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

“Penubuhan Task Force Projek Perumahan Swasta dan Terbengkalai pada 30 Disember 2022 bertujuan untuk mencari pendekatan yang lebih holistik, berfokus dan strategik serta memberi impak positif dalam menyelesaikan isu projek sakit dan terbengkalai.

“Terms of Reference (TOR) Task Force Projek Perumahan Swasta dan Terbengkalai telah diperhalusi dengan memperkukuhkan empat (4) elemen utama iaitu Track, Resolve, Preventive dan Forward Modelling.

“Sehingga 28 Februari 2023, sebanyak 145 projek perumahan swasta (4.7%) yang lewat daripada kemajuan semasa dan 436 projek (iaitu 13.9%) adalah dikategorikan sebagai sakit daripada 3,117 projek perumahan swasta berlesen,” kata KPKT menerusi satu kenyataan hari ini.

KPKT berkata, berdasarkan maklumat terbaru itu menunjukkan terdapat sedikit pengurangan projek sakit berbanding Januari 2023.

“Daripada keseluruhan projek tersebut, sebanyak 20 projek perumahan swasta sakit (1,784 unit rumah) telah berjaya diselesaikan sehingga menerima Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan atau Certificate of Completion and Compliance (CCC) dan sebanyak enam (6) projek sakit (2,241 unit) telah dipantau dengan rapi sehingga dikategorikan sebagai projek lancar.

“Ini merupakan pencapaian positif sejak penubuhan Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai,” katanya.

Sementara itu Akmal menjelaskan, tidak dinafikan statistik projek perumahan swasta lancar, lewat dan sakit sentiasa mengalami perubahan status kemajuan untuk setiap bulan disebabkan oleh data yang dinamik serta pertambahan projek-projek baharu yang dilesenkan.

“Selain itu, tempoh masa yang ‘ditangguhkan’ dibawah Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) (Pindaan) 2022 [Akta A1641] juga telah tamat yang mana pada masa ini merupakan tempoh pemulihan daripada isu kekurangan bahan binaan dan tenaga pekerja di tapak.

“Keadaan pemulihan ini dijangka akan mengambil masa sehingga suku kedua tahun 2024 untuk pulih sepenuhnya.

“Dengan mengambil kira situasi ini, unjuran projek perumahan bermasalah dijangka akan terus meningkat dan statistik terkini adalah sebanyak pertambahan 181 projek lewat menjadikan projek perumahan swasta berstatus lewat berakhir tahun 2023 adalah sebanyak 326 projek manakala unjuran bagi projek sakit adalah sebanyak 282 projek menjadikan projek perumahan swasta berstatus sakit berakhir tahun 2023 adalah sebanyak 718 projek.

“Selain itu, lima (5) projek terbengkalai yang terkini berjaya dikeluarkan daripada senarai projek terbengkalai adalah:

(i) Dolomite Park Avenue di Gombak, Selangor;
(ii) Taman Petaling Utama, Selangor;
(iii) Casa Melati, Gombak, Selangor;
(iv) Pantai Avenue Bukit Kerinchi, W.P. Kuala Lumpur; dan
(v) Lot 5918-5927, Mukim Bukit Besar, Kuala Terengganu.

“Ini menjadikan status terkini projek perumahan swasta terbengkalai adalah sebanyak 110 projek yang melibatkan 23,563 unit rumah dan 13,931 orang pembeli.

“Antara kaedah pemulihan projek terbengkalai yang dilaksanakan oleh KPKT ialah memastikan penyiapan projek sehingga memperoleh CCC, penyelesaian pembeli dan penukaran pemajuan,” katanya.

Tambah beliau lagi, bagi tahun 2023, KPKT telah diluluskan peruntukan pembangunan (DE) tambahan one off berjumlah RM20 juta yang disasarkan untuk memulihkan projek terbengkalai bagi rumah siap dan diduduki tetapi tanpa CCC.

“Pemilihan projek yang ini amat kritikal untuk dipulihkan terlebih dahulu mengambil kira faktor keselamatan dan daya huni rakyat yang telah mendiami rumah-rumah tersebut.

“Peruntukan ini merupakan tambahan ke atas peruntukan pembangunan (DE) sedia ada yang berjumlah RM4.9 juta.

“Ini menjadikan peruntukan keseluruhan pada tahun ini adalah sebanyak RM24.9 juta iaitu meningkat sebanyak 407.22% berbanding tahun 2022.

“Oleh itu, KPKT mengharapkan komitmen daripada Kerajaan Negeri untuk mengenal pasti projek-projek yang sesuai dan berupaya untuk dipulihkan pada tahun ini bagi memelihara kesejahteraan para pembeli rumah yang terjejas,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat