TV Alhijrah Perlu Diisi Dengan Rancangan Menarik Yang Mencambah Minda

- Advertisement -

Oleh: Ahmad Soffian Bin Mohd Shariff

Baru-baru ini kecoh diperkatakan tentang kedangkalan penerbit rancangan stesen TV Alhijrah yang telah menjemput seorang wanita yang tular akibat sikap biadab beliau terhadap pekerja kedai serbaneka di Terengganu.

Akibat tekanan netizen, akhirnya stesen TV itu menangguhkan hasrat mereka untuk menyiarkan episod tersebut.

Adalah sedih untuk kita fikirkan, sebuah stesen yang bertemakan dakwah dan sewajarnya penuh dengan unsur-unsur Islamik sanggup menggadaikan prinsip mereka semata-mata untuk mengejar “rating”.

Perkara ini memperlihatkan betapa ceteknya kreativiti pihak penerbitan rancangan mereka dalam usaha untuk memaparkan isi kandungan (content), yang lebih mantap dan menarik untuk dipaparkan kepada penonton, yang majoritinya adalah dikalangan umat Islam.

TV Alhijrah yang mula beroperasi pada 1 November 2010 merupakan satu inisiatif kerajaan Malaysia bagi meningkatkan usaha dakwah secara kontemporari secara percuma.

Tidak seperti Astro Oasis yang hanya boleh ditonton oleh para pelanggan saluran TV berbayar Astro, TV Alhijrah adalah merupakan siaran TV percuma bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat mengenai Islam dan kebudayaan alam Melayu.

Namun begitu, sejak akhir-akhir ini, ketiadaan program yang mantap membuatkan stesen TV tersebut semakin dilupakan oleh masyarakat umum.

Namun dengan mempopularkan golongan biadap bukanlah satu cara yang elok untuk mengembalikan kepopularan stesen TV ini.

Apa yang TV Alhijrah perlu lakukan?

Jika para pengurusan stesen TV, lebih cakna dengan kehendak penonton, sudah tentu mereka sedar, bahawa masyarakat Melayu pada ketika ini begitu mendambakan program-program yang berunsurkan adat Melayu yang berlandaskan syariat.

Ceritakanlah kepada umat Islam di Nusantara mengenai kehebatan sejarah, muzik, inovasi dan hal-hal lain yang boleh mencambah minda mereka.

Adunkan dengan inovasi terkini dan maklumat tentang pencapaian saintis Muslim di dalam dan luar negara.

Bawa kembali perhatian umat Islam dengan iltizam untuk memajukan diri mereka demi agama dan tanah air.

Dengan garapan yang baik dan pemasaran yang jitu, sudah tentu stesen TV ini akan berupaya untuk kembali semula menjadi ejen dakwah utama di negara ini.

Isu viral hanyalah isu sementara, manakala rancangan TV yang bermanfaat dan menarik akan terus dikenang oleh penonton sehingga bertahun-tahun lamanya.

Sebagai penonton setia TV Alhijrah sejak hari pertama stesen itu ditubuhkan saya amat berharap agar stesen ini akan mendapat kembali “ruhnya”, dengan misi untuk meningkatkan lagi kefahaman rakyat Malaysia (dan negara-negara tetangga) dengan ilmu dan maklumat yang bermanfaat.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat