PULAU PINANG: Talent Corporation Malaysia (TalentCorp) bakal berperanan menjadi penghubung kolaborasi kepada majikan dalam pembangunan ekosistem bakat di utara negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Thomas Mathew berkata, agensi ini akan terus memainkan peranannya bagi membantu pemain industri di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang dijangka memerlukan 30,000 peluang pekerjaan baharu.

“Sejak tujuh tahun lalu pembukaan pejabat TalentCorp di Pulau Pinang, kami sentiasa berusaha mewujudkan rangkaian dan kerjasama dengan pelbagai pihak dalam sektor awam mahupun swasta.

“Selain kerjasama dengan pemain industri utama di Pulau Pinang dan Kedah, TalentCorp juga menjalinkan kerjasama dengan pihak academia di ketiga-tiga negeri NCER termasuk Perlis,” katanya dalam satu kenyataan selepas merasmikan pejabah baharu TalentCorp di bangunan One Precinct, Bayan Baru, di sini.

Pejabat baharunya itu merupakan cawangan pertama TalentCorp di luar Lembah Klang.

“Pejabat baharu TalentCorp dan MYXpats di Bayan Baru akan berperanan sebagai penghubung kolaborasi dengan majikan untuk inisiatif juga program yang bakal memberi manfaat kepada ekosistem bakat di negara ini.
“Kewujudan MYXpats di Pulau Pinang juga menyasarkan untuk menambah baik masa pemprosesan bagi perkhidmatan di rantau itu,” katanya lagi.

Pejabat baru ini berperanan sebagai ibu pejabat TalentCorp, MYXpats dan MYNext di utara adalah bukti kejayaan TalentCorp sejak mula beroperasi di Pulau Pinang pada tahun 2014.

Pada waktu itu, ia hanya diwakili oleh seorang pekerja sahaja, tetapi selepas lapan tahun, terus berkembang teguh dan bekerjasama dengan pemain utama pelbagai industri.

“Hasil pertumbuhan ini, TalentCorp berhasrat untuk mengukuhkan kedudukannya di utara dengan menyediakan perkhidmatan kepada syarikat yang memerlukan maklumat dan bantuan mengenai inisiatifnya serta membantu mereka sehingga Berjaya,” katanya.