IPOH- Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memandang serius mengenai isu kelangsungan populasi Harimau Malaya atau Panthera Tigris Jacksoni.

Baginda bertitah, berdasarkan kajian, kawasan hutan simpan di Negeri Perak merupakan habitat penting Harimau Malaya.

“Hasil kajian mendapati, kini hanya berbaki 37 Harimau Malaya, 30 dewasa dan tujuh anak harimau yang masih berkeliaran di hutan simpan negeri.

“Angka ini sangat rendah berbanding keluasan kawasan habitat yang boleh menampung sekitar 200 harimau berkenaan.

“Dalam usaha menyokong pengukuhan habitat Harimau Malaya, kerajaan negeri mewartakan kawasan seluas hampir 19,000 hektar sebagai Hutan Simpan Kekal Amanjaya,” titah baginda merasmikan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Dewan Negeri Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh pada Isnin.

Hadir sama Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang juga penaung WWF-Malaysia juga bertitah, pelbagai bencana alam yang semakin kerap berlaku kebelakangan ini hendaklah ditafsirkan sebagai peringatan Allah kepada manusia yang bersifat zalim.

Titah baginda, dunia kini semakin menghadapi pelbagai bencana mengakibatkan kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa.

“Pelbagai bencana alam yang semakin kerap berlaku kebelakangan ini hendaklah ditafsirkan sebagai peringatan Ilahi kepada manusia yang bersifat zalim sehingga alam semakin membenci dan enggan bersahabat dengan manusia.

“Ketaksuban untuk memajukan prasarana dan ketaksuban untuk meraih keuntungan perniagaan jangan dijadikan lesen menghalalkan manusia bersifat rakus memusnahkan alam sekitar.

“Kecanggihan teknologi semata-mata tidak mampu membendung bencana akibat kerosakan alam sekitar yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia,” titah baginda memetik BH.

Sultan Nazrin bertitah, pembangunan negara harus mengambil kira elemen pemantapan sahsiah dan rasa cinta kepada alam sekitar.

“Rohani dan sahsiah hendaklah dimantapkan untuk menyemai kesedaran agar manusia berbaik-baik dengan alam sekitar supaya ada keseimbangan antara pembangunan prasarana dan pemuliharaan alam,” titah baginda.