Tengku Hassanal tak mahu lihat projek ‘sakit’ di Pahang

- Advertisement -

KUANTAN – Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menegaskan baginda enggan melihat ada projek sakit atau lewat siap berlaku di Pahang selain mahu semua lokasi di negeri ini tidak ketinggalan dalam aspek komunikasi.

Baginda bertitah kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan seharusnya bekerjasama rapat dalam melaksanakan projek yang mendesak serta berimpak tinggi di bawah Rancangan Malaysia ke-12 dan Belanjawan 2022 selain peruntukan yang ada perlu dibelanjakan dengan cepat dan betul agar rakyat menikmati manfaatnya.

“Ini termasuk pelaksanaan projek tebatan banjir dan pembangunan sistem amaran bencana serta penambahbaikan sistem saliran di lokasi berisiko tinggi berlaku bencana. Saya bertitah agar semua jabatan dan agensi dapat mempercepat pelaksanaan projek yang diluluskan dengan mematuhi peraturan dan tatacara sedia ada.

“Saya tidak mahu ada lokasi terutama di kawasan luar bandar yang masih langsung tidak menerima liputan Internet. Kawasan yang menerima liputan Internet perlahan perlu ditambah baik dari semasa ke semasa,” titah baginda memetik Bernama.

Tengku Hassanal bertitah demikian semasa menyempurnakan Istiadat Pembukaan dan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-14 di Wisma Sri Pahang pada Isnin.

Mengenai banjir, Tengku Hassanal menitahkan supaya kerajaan negeri mempercepat usaha membuat penempatan baharu bagi memindahkan mereka yang sering terlibat dengan bencana itu selain menyentuh tindakan kerajaan pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail membantu mangsa banjir dengan pelbagai bentuk bantuan berjumlah RM71 juta.

Tengku Hassanal turut menzahirkan sukacita dengan tindakan proaktif kerajaan negeri menarik RM987 juta pelaburan domestik dan RM9.8 bilion pelaburan antarabangsa ke Pahang selain kejayaan membawa pelaburan baharu bernilai RM5.5 bilion pada awal tahun ini melibatkan syarikat pelaburan termasuk dari Singapura, Korea Selatan dan China.

“Pelaburan ini mesti diurus dengan baik agar dapat memberi manfaat baik daripada aspek peluang pekerjaan mahupun limpahan ekonomi kepada rakyat saya,” titah baginda lagi.

Meskipun optimis dengan sasaran kutipan hasil sebanyak RM1 bilion untuk tahun ini mampu dicapai dengan komitmen semua pihak, Tengku Hassanal mengingatkan pentadbiran kerajaan negeri untuk terus melipatgandakan kecekapan pengurusan kutipan hasil negeri yang perlu dilaksanakan dengan penuh integriti tanpa membebankan rakyat.

Berhubung aspek pendidikan, Tengku Hassanal menitahkan kerajaan negeri menetapkan misi dan visi untuk memastikan Pahang mempunyai institusi pendidikan terbaik meliputi sekolah, kolej, universiti dan pusat tahfiz yang mampu dicapai menerusi pelaksanaan strategi tepat dan komiten semua pihak.

Baginda seterusnya menitahkan kerajaan negeri untuk terus menambah keluasan kawasan rizab hutan simpan kekal (HSK) setiap tahun walaupun kawasan HSK dan hutan simpan di negeri ini telah ditambah lebih 7,000 hektar menjadikan jumlah HSK kira-kira 1.6 juta hektar setakat ini, ‘menobatkan’ Pahang sebagai negeri yang mempunyai rizab hutan terbesar di Semenanjung Malaysia.

“Saya sedang menggerakkan usaha memelihara alam sekitar termasuk inisiatif untuk memelihara Harimau Malaya yang kini di ambang kepupusan. Jika kita semua tidak memberi perhatian sewajarnya, tidak mustahil anak cucu kita hanya mengenal Harimau Malaya sekadar dalam Jata Negara atau di kulit pasport,” titah baginda.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
230,282FollowersFollow
27,496FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat