KUALA LUMPUR – Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin memperbetul persepsi yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer kononnya Perlis hancur susulan krisis politik membabitkan Bersatu dan Pas di negeri itu.
Jelas Ahli Parlimen Pagoh itu, masalah politik yang berlaku di Perlis sudah pun diselesaikan dengan kebijaksanaan dan perkenan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
“Perlis tak hancur, masih ada.
“Perlis negeri yang berdaulat, (masalah) telah pun kita selesaikan secara bijaksana.
“Bagi saya Jelutong sengaja bangkitkan isu ini untuk menunjukkan niat dan hasrat tidak baik. Sedangkan masalah di Perlis sudah diselesaikan dan telah pun dilaksanakan ikut tanggungjawab Raja Perlis,” kata Muhyiddin di Dewan Rakyat pada Rabu.
Terdahulu, RSN Rayer (PH-Jelutong) bangkit mencelah dan bertanyakan kepada Muhyiddin sama ada beliau setuju bahawa kestabilan politik membolehkan Malaysia mengharungi pelbagai cabaran, termasuk berkaitan perjanjian timbal balas dengan Amerika Syarikat (AS), berbanding ketidaktentuan politik seperti di Perlis.



