KUALA LUMPUR – Penyerahan Kapal Tempur Pesisir (LCS )1 disemak ke Disember 2026 dengan kelewatan sekitar 4 bulan, manakala jadual penyerahan kapal seterusnya kekal sehingga tahun 2029.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Khaled Nordin memberitahu Dewan Rakyat hari ini, setakat 25 Disember 2025, Kementerian Pertahanan dimaklumkan oleh Lumut Naval Shipyard (LUNAS) bahawa kemajuan keseluruhan projek LCS telah mencapai 75.75 peratus sebenar berbanding 81.57 peratus mengikut perancangan. Manakala LCS 1 berada pada tahap 82.9 peratus.
“Berada di Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab pertanyaan berhubung status pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) 1, yang sememangnya terus menjadi perhatian pelbagai pihak.
“Kapal LCS 1 telah berjaya diluncurkan ke air dan kini berada dalam fasa pemasangan serta integrasi sistem utama. Ujian laut peringkat limbungan telah bermula pada 20 Januari 2026, dengan “first sea going”dijadualkan pada 28 Januari 2026 bagi pengujian sistem jentera, jana kuasa, penghawa dingin dan sistem pendorongan.
“Penyerahan LCS 1 disemak ke Disember 2026 dengan kelewatan sekitar 4 bulan, manakala jadual penyerahan kapal seterusnya kekal sehingga tahun 2029,” kata Khaled.
Menurut beliau, nilai keseluruhan projek LCS adalah RM11.2 bilion dengan perbelanjaan semasa sekitar RM8.3 bilion atau 74 peratus daripada jumlah kontrak.
“Kementerian Pertahanan terus melaksanakan pemantauan rapi bersama TLDM sebagai pengguna akhir serta pihak pelaksana bagi memastikan setiap fasa pembangunan, pengujian dan penyerahan kapal dilaksanakan mengikut spesifikasi dan keperluan operasi.
“Keutamaan kementerian adalah memastikan aset yang diterima benar-benar selamat, berfungsi dengan baik dan memenuhi keperluan pertahanan negara,” katanya.



