KUALA LUMPUR – Pengakuan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif bahawa terdapat asas dakwaan media sosial mengenai salah laku seorang ahli lembaga penasihat yang dikaitkan dengan pemberian projek bernilai RM4 juta menimbulkan persoalan mengenai tadbir urus Pihak Berkuasa Tempatan tersebut.
Dalam kenyataannya kepada The New Straits Time Press, Maimunah mendakwa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini melakukan siasatan dalaman pelanggaran proses tadbir urus berkaitan perolehan projek kerja penerbitan bahan kreatif untuk DBKL bernilai RM4 juta, yang didakwa tidak diberikan melalui tender terbuka.
Menurut dakwaan di media sosial, ahli lembaga penasihat tersebut dikatakan memegang jawatan dalam syarikat yang dianugerahkan projek berkenaan.
Dalam perkembangan berasingan, Maimunah mengesahkan beliau menghentikan sebuah projek bernilai RM7 juta yang dikaitkan dengan ahli lembaga penasihat sama, selepas memegang jawatan pada tahun lalu.
“Kami mengambil dakwaan ini dengan serius dan mengarahkan unit integriti untuk menyiasat dakwaan mengenai perolehan yang tidak wajar,” kata Maimunah ketika dihubungi The New Straits Times (NST).
Walaupun tidak menamakan Ahli Lembaga Penasihat (ALP) DBKL tersebut, namun tinjauan SuaraTV dalam senarai ALP tersebut hanya ada seorang yang mempunyai latar belakang penghasilan kandungan kreatif yang juga merupakan ‘orang kuat’ PKR dalam bidang seni.