Jumlah mangsa banjir di enam negeri meningkat kepada 25,849 orang

- Advertisement -

SHAH ALAM – Jumlah mangsa banjir di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Selangor dan Sabah meningkat daripada 25,351 orang kepada 25,849 orang pada Rabu.

Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Perdana Menteri (Nadma) (JPM) dalam satu kenyataan memaklumkan, ia melibatkan 7,983 keluarga yang ditempatkan di 185 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 12 tengah hari.

Menurut kenyataan itu, tiga daerah yang paling teruk terjejas ialah Pasir Mas, Kelantan (13,844 mangsa) diikuti Terengganu iaitu di Hulu Terengganu (2,846 mangsa) dan Dungun (2,829 mangsa).

“Selain itu, terdapat tiga kematian akibat banjir di Kelantan melibatkan seorang kanak-kanak lelaki di Kota Bharu dan dua kanak-kanak perempuan di Pasir Mas direkodkan setakat ini,” katanya pada Rabu.

Sebelum itu, bagi tempoh 11 November hingga 27 Disember, secara kumulatif seramai 16,745 keluarga dan 55,173 mangsa ditempatkan di PPS.

Agensi pengurusan bencana itu berkata, penumpuan angin dijangka berlaku di Pantai Timur dan selatan Semenanjung sehingga Khamis menyebabkan peningkatan kelembapan yang berpotensi membawa hujan berterusan di kawasan terbabit.

“Sementara itu, di negeri-negeri lain, ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang berpotensi berlaku pada sebelah petang hingga ke malam.

“Tiada amaran banjir yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) buat masa ini, namun terdapat 14 sungai yang mencatatkan kenaikan aras air melebihi tahap bahaya.

“Sungai tersebut melibatkan negeri Pahang iaitu Kuala Tahan, Tembeling, Luit, Keratong, Rompin, Kuala Krau, Paloh Inai dan Chini diikuti Kelantan (Kuala Krai, Sungai Golok, Kusial, Kuala Besar) serta Terengganu (Dungun, Kemaman),” ujarnya.

Tambah kenyataan itu lagi, berdasarkan rekod kawasan titik panas dan cerun kritikal Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), terdapat kawasan berisiko mengalami tanah runtuh di Jeli (Lebuhraya Timur-Barat), Tanah Merah dan Gua Musang (Jalan Lojing-Gua Musang).

“Terdapat sembilan kejadian tanah runtuh direkodkan sehingga Selasa iaitu masing-masing empat di Pahang dan Selangor serta satu di Sarawak,” katanya. – Sinar

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat