KUALA LUMPUR – Malaysia dan China bakal menjalin kerjasama dua hala dan perdagangan dalam sektor pertanian yang melibatkan teknologi tinggi pertanian tropikal serta industri benih.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pembangunan Pelabuhan Bebas Dagang dan Silicon Valley di Hainan, China dilihat bakal merancakkan lagi kerjasama ekonomi khususnya sektor pertanian antara Malaysia dan Hainan, China.
“Hari ini menerima Kunjungan Hormat daripada Setiausaha Provinsi Hainan di China, Feng Fei dan delegasinya di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Kuala Lumpur.
“Antara perkara yang dibincangkan adalah berkait dengan potensi kerjasama dua hala dan perdagangan dalam sektor pertanian Malaysia dan Hainan, China yang melibatkan teknologi tinggi pertanian tropikal serta industri benih. Pembangunan Pelabuhan Bebas Dagang dan Silicon Valley di Hainan, China dilihat bakal merancakkan lagi kerjasama ekonomi khususnya sektor pertanian antara Malaysia dan Hainan, China,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Mohamad juga memaklumkan, Feng Fei turut menjemput beliau ke expo antarabangsa berkaitan teknologi pertanian dan pertanian tropikal yang akan diadakan di China pada hujung tahun ini dan tahun hadapan.
“Saya turut mengambil kesempatan menjemput beliau dan delegasi untuk ke Malaysia Agriculture, Horticulture & Agro-Tourism International Show 2024 (MAHA 2024) yang akan diadakan pada bulan November 2024,” katanya.