Imigresen wujudkan petugas khas pantau pergerakan keluar pelancong China, India

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan mewujudkan pasukan khas bagi memantau pergerakan keluar pelancong China dan India, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, pemantauan akan dilaksana pada hari terakhir atau ke-30 dan ia akan dilaporkan secara berkala, sebagai sebahagian daripada tujuh mekanisme kawalan dan penguatkuasaan susulan pelaksanaan pelan liberalisasi visa.

“Pelaksanaan pelan liberalisasi visa akan diperkukuhkan dengan langkah kawalan dan penguatkuasaan secara bersepadu dengan agensi-agensi penguat kuasa.

“Melalui aspek kawalan dan penguatkuasaan yang dipergiatkan, negara boleh menghindar daripada berlakunya isu-isu seperti kebanjiran warga asing dan pendatang tanpa izin (Pati),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, JIM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memastikan ketenteraman awam di Malaysia terjamin dengan mengekalkan pelaksanaan tapisan keselamatan awal kepada semua pelancong ke Malaysia, terutama yang mempunyai rekod jenayah atau risiko keganasan.

Katanya, selain itu, kawalan juga ditingkatkan di kawasan tumpuan warga asing seperti di sekitar Masjid India, Plaza Lowyat dan Bukit Bintang.

“KDN akan menggiatkan aktiviti risikan dan penguatkuasaan kepada bukan sahaja pekerja asing tetapi juga kepada majikan yang menggajikan atau melindungi Pati.

“Prosedur ketat pemberian Notis Penolakan Masuk atau No-to-Land (NTL) dikekalkan dan tidak dikompromi, serta kerajaan memberi tanggungjawab kepada syarikat penerbangan untuk menyemak dan memastikan pelancong yang masuk ke Malaysia mempunyai tiket penerbangan pulang dan tempahan hotel sepanjang keberadaan di Malaysia yang disahkan,” katanya.

Selain itu, Saifuddin berkata, kerajaan akan menilai cadangan untuk mewajibkan pengisian data di Malaysia Digital Arrival Card (MDAC) yang berintegrasi dengan sistem imigresen MyIMMs bagi memastikan data kemasukan pelancong asing direkodkan.

“Juga mengkaji semula Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 berkaitan kadar kompaun, denda dan hukuman untuk tindakan jangka panjang.

“Pelaksanaan pelan liberalisasi visa ini akan dikaji semula selepas tempoh satu tahun untuk menilai pulangan pelaburan kepada negara, keberkesanan inisiatif dan penilaian risiko keselamatan terhadap kemudahan imigresen yg diberikan,” katanya.

Beliau berkata, penambahbaikan boleh dibuat selepas semakan semula sebagai persediaan menjelang tahun berikutnya. – HMetro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat