KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla membincangkan perkembangan isu Palestin dalam pertemuan kedua-dua pemimpin itu di Putrajaya, malam tadi.
Menurut Anwar perang antara Israel dan Palestin sangat mengesankan Jusuf Kalla.
“Malam ini (tadi) saya dan Azizah menerima kunjungan hormat daripada Bapak Muhammad Jusuf Kalla, bekas Naib Presiden Indonesia bersama isteri, Ibu Mufidah di Seri Perdana, Putrajaya.
“Kami membincangkan perkembangan terkait isu Palestin yang juga menjadi perhatian dan sangat mengesankan Bapak Jusuf Kalla,” kongsi Anwar di Facebooknya.
Dalam pada itu, beliau turut berkongsi dalam pertemuan itu mereka manfaatkan menyentuh aliran dakwah dan pemikiran Islam.
“Kesempatan yang ada turut kami gunakan untuk menyentuh kepentingan pengukuhan aliran dakwah dan pemikiran Islam yang sederhana di rantau Alam Melayu melalui aktiviti-aktiviti ilmu dan keagamaan.
“Ia juga seiring dengan peranan semasa Bapak Jusuf Kalla sebagai Ketua Dewan Masjid Indonesia (DMI).
“Semoga pertemuan ini akan meneruskan lagi legasi panjang Bapak Jusuf Kalla yang sinonim dengan hubungan istimewa Malaysia dan Indonesia, Insya-Allah,” ujar Anwar.