Oleh: Noora Mono
Apabila Hamas melakukan serangan mengejut ke atas Israel dari Tebing Gaza pada tanggal 7 Oktober 2023, ramai tidak menyangka tarikh tersebut mungkin akan dikenang dalam lipatan sejarah pada hari mendatang sebagai permulaan Perang Dunia ke-3. Namun, melihatkan ketegangan yang kian meningkat dan penglibatan yang semakin banyak kuasa-kuasa besar dunia, ini adalah suatu kemungkinan yang perlu dipertimbangkan.
Tentera Amerika Syarikat berserta ketumbukkan armadanya sudah pun bersiaga di Laut Tengah. China membalas dengan pengumuman akan menghantar 6 kapal perang ke medan konflik. Rusia, tatkala masih dibelenggu perang dengan Ukraine, memerhatikan situasi dengan penuh minat. Sekutu-sekutu rapat Israel di Barat pula semakin lantang menyatakan kesediaan menawarkan bantuan ketenteraan jika perlu. Dunia dalam keadaan berjaga-jaga. Justeru, apa kedudukan Malaysia dalam perebutan proksi antara kuasa-kuasa besar ini?
Malaysia Negara Peramah: Berkecuali Untuk Berkawan
Malaysia, selaku negara kerdil dalam pelbagai aspek, senantiasa memilih untuk bersifat berkecuali, atau neutral, dalam sebarang persaingan antara kuasa-kuasa besar. Sejak zaman Perang Dingin antara Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet yang berakhir apabila terbubarnya Kesatuan Soviet pada tahun 1991, Malaysia dikelaskan sebagai negara dunia ketiga, iaitu negara-negara yang tidak memihak kepada negara dunia pertama (Blok Barat) atau negara dunia kedua (Blok Timur).
Malahan, pada tahun 1961, pasca Perang Korea yang menyaksikan dunia mula berpecah kepada dua blok utama, barat dan timur, Malaysia secara rasminya menyertai Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) bagi menyerlahkan lagi sifat “peramah” Malaysia yang mahu berkawan dengan sebarang pihak yang mampu memberikan manfaat sejagat. Perwatakan Malaysia yang tidak mahu mencari musuh ini diperlihatkan lagi dengan kekuatan pasport warganegaranya, yang pernah menduduki tempat ke-8 dunia pada tahun 2014, membolehkan pemiliknya ke 180 negara di seluruh dunia tanpa visa.
Berkecuali Dalam Batasan: Kezaliman Tidak Diiktiraf
Namun, dalam pada kita menunjukkan sikap mesra dalam menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara-negara asing, Malaysia juga secara terbuka adalah salah satu negara yang tidak mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara berdaulat. Israel adalah satu-satunya negara yang tertera sebagai tidak sah untuk digunakan pada muka depan pasport Malaysia. Ketegasan Malaysia untuk tidak mengiktiraf Israel ini bukanlah suatu kegarangan individu mana-mana pemimpin sahaja, sebaliknya adalah konsensus yang diterima umum sejak daripada hari pertama tertubuhnya Malaysia lagi. Daripada Tunku Abdul Rahman sehinggalah kini Anwar Ibrahim, tidak ada lagi Perdana Menteri yang mahu menjalinkan hubungan diplomatik secara rasmi dengan Israel.
Malaysia yang sentiasa mahu berkecuali meletakkan titik noktah sempadan “kekecualian” itu kerana tidak mahu bersama dalam kezaliman melebarkan wilayah menindas negara-negara yang dilihat lebih lemah. Kelantangan bersuara menentang kezaliman ini melonjakkan Malaysia selaku negara rujukan dan tauladan dalam berkeras menidakkan sebarang unsur yang melawan resam keadilan itu sendiri. Dari Bosnia ke Somalia, Afghanistan ke Myanmar, suara Malaysia sentiasa berkumandang dengan tegas dan keras biarpun dengan kekerdilan saiz ekonomi mahupun kekuatan ketenteraannya.
5G: Perlu Istiqamah Untuk Terus Kecuali Dalam Berkecuali Apabila Perlu
Walau bagaimanapun, seiring dengan perkembangan teknologi yang kian pesat, keputusan untuk kecuali dalam berkecuali ini perlu merentasi konflik bersifat fizikal juga. Penjajahan pada masa kini boleh datang dalam pelbagai bentuk. Sama ada melalui pegangan perdagangan ekonomi sehinggalah ke perkongsian data sulit, Malaysia perlu mengamalkan sikap konsisten, atau istiqamah, dalam segenap perihal berkaitan.
Rata-rata rakyat Malaysia faham akan keperluan untuk menjadi berkecuali bagi mengelakkan negara menjadi mangsa peperangan proksi antara kuasa-kuasa besar. Adalah malang, bak kata pepatah lama, jika Malaysia menjadi pelanduk yang mati di tengah-tengah antara gajah sama gajah yang sedang berjuang. Atau menurut pepatah moden yang kerap kali diutarakan sejak dipopularkan oleh seorang pemimpin politik tempatan, bila gajah lawan gajah, rumput yang akan merana.
Natijahnya, kelantangan Malaysia membela nasib negara-negara luar perlu juga digunapakai apabila membela nasib rakyat dan isinya sendiri. Maka, apabila Perdana Menteri baru-baru ini pada 27 September 2023, mahu Huawei terlibat secara langsung dalam pembangunan infrastruktur 5G di Malaysia, tanpa ada penjelasan bagaimana proses tatakelolanya, ramai yang tidak dapat menerima alasan pengimbangan kuasa timur dan barat yang dikemukakan.
Umum jelas akan keperluan untuk bersifat berkecuali dan tidak dilihat memihak kepada mana-mana blok, tetapi tidakkah memilih suatu organisasi yang mempunyai hubungan terus dengan ketenteraan negaranya hanya kerana mahu “mengimbangkan” kuasa antara dua proksi itu keputusan tergesa-gesa yang boleh menggadaikan kedaulatan negara? Apatah lagi dengan pelbagai skandal dan kontroversi yang menyelubungi syarikat terbabit, pengumuman itu, biarpun dalam majlis tertutup, dilihat sebagai keterlaluan. Seolah-olah terlalu terlalu terdesak sehingga melampaui proses sewajarnya.
Adakah ini secara tidak langsung, Perdana Menteri menidakkan ketelusan proses saringan ketat yang dilaksanakan Digital Nasional Berhad (DNB), suatu entiti milikan kerajaan sendiri, dalam memilih Ericsson selaku pembekal peralatan tunggal? Tiada pula dalam memori bahawasanya pemilihan Ericsson yang dibuat kerajaan terdahulu adalah kerana perjanjian bilateral bersifat diplomatik antara Malaysa dan Sweden. Lalu, mengapa pula pemilihan Huawei berbeda tatacaranya?
Terdapat suara-suara keresahan dan rasa bimbang yang ketara di kalangan rakyat dengan perkembangan terkini ini. Keputusan yang dilihat mahu meletakkan keseimbangan antara dua kuasa sebenarnya mencondongkan kita kepada suatu pihak lagi. Dan ini boleh merosakkan keyakinan pelabur luar, terutamanya di luar kelompok blok yang ingin “diimbangkan” itu, serta mampu menjerat kebebasan keupayaan perdagangan antarabangsa negara jika terlalu bergantung harap kepada suatu pihak sahaja.
Lantaran itu, keimbangan apa sebenarnya yang mahu dicapai? Mengapa dalam insiden melibatkan kemanusiaan di luar negara kita boleh memilih untuk bersama dengan mangsa penindasan, tetapi apabila rakyat sendiri yang bakal menjadi mangsa, kita bertegas pula untuk bersifat neutral?
Kesimpulan: Berkecuali Demi Kemaslahatan, Fikirkan Keputusan
Tatkala dalam riuh rendah mahu memastikan keadilan dijuangkan di luar negara, kemaslahatan rakyat dan isi penduduk dalam negara mestilah dipastikan jua. Kedudukan Malaysia selaku negara berkecuali yang sering mengecualikan diri untuk berkecuali mestilah dirujuk dalam keputusan domestiknya juga. Jangan sampai kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. Untuk keputusan sebesar ini, ada baiknya Malaysia mengambil pendirian mengecualikan diri daripada berkecuali. Jangan benarkan kemasukan entiti yang boleh mengancam kedaulatan data negara seperti Huawei atas apa jua sebab sekali pun.
Ada masanya, perlu ada rasa “pentingkan diri” untuk memastikan kemaslahatan kendiri. Laksanakan tatakelola sewajarnya tanpa prejudis kepada mana-mana pihak hatta Huawei sekalipun. Mengimbangkan timur dan barat kerana kita negara berkecuali adalah alasan yang tidak masuk akal sama sekali.