Pentas cinta Syamel, Ernie

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tidak sedar dua jam berlalu apabila dibuai paduan vokal pasangan suami isteri, Ernie Zakri dan Syamel pada Konsert Aku Cinta di Zepp Kuala Lumpur di ibu negara, Ahad lalu.

Meninggalkan kenangan terindah buat peminat, Ernie dan Syamel buat kali pertama tampil dengan ‘repertoire’ cukup menghiburkan di hadapan lebih 1,100 peminat.

Tirai konsert diiringi pengarah muzik, Aubrey Suwito itu dibuka dengan persembahan lagu duet popular, Aku Cinta.

Pasangan ini kemudian menghangatkan pentas dengan rangkaian lagu yang pernah dinyanyikan ketika menyertai program realiti, Duo Star, di mana di situlah mereka bertemu dan menjalin cinta.

Lagu-lagu itu adalah Kau Lupa Janji, I Want To Spend My Life Time Loving You, Laksamana Raja Di Laut, Balqis, Bujang Senang dan Gerhana.

Sebelum beraksi pada segmen itu, Syamel dan Ernie tidak putus-putus mengucapkan terima kasih kepada peminat, rakan artis dan keluarga yang hadir.

“Ya Allah, kami tak sangka seramai ini. Jutaan terima kasih kepada yang hadir. Saya nampak rakan artis yang sangat kami kagumi.

“Malah, kami berbesar hati apabila pengurus beritahu antara artis ‘senior’ yang hadir adalah Pak Ngah dan Mak Long kami, Anuar Zain dan Ziana Zain.

“Paling penting adalah keluarga kami serta anak, Khawla yang datang ke konsert kami.

“Saya fikir perjalanan kami adalah doa anda semua dari dahulu sampai sekarang. Terima kasih kerana mendoakan kami,” katanya.

Menariknya, Nur Khawla Soleha ditampilkan untuk memberi ‘sokongan’ kepada Ernie dan Syamel sepanjang konsert.

Malah, Syamel menggantung buaian untuk memastikan anaknya selesa. Khawla dipakaikan ‘headphone’ bagi mengelak bunyi kuat merosakkan gegendang telinga anaknya.

Peminat terus dibuai dengan persembahan solo Ernie menerusi lagu Jangan Marah, Misteri, Gundah dan Ku Bersuara.

Ernie dilihat beberapa kali mengesat air matanya. Penyanyi itu mengaku sangat terharu atas sokongan dan sambutan diterima pada konsert itu.

“Lama saya tunggu momen ini. Ini adalah impian setiap penyanyi solo untuk membuat konsert.

“Alhamdulillah, atas sokongan ini, saya dan Syamel bersemangat,” katanya.

 

Ernie berterima kasih kepada Syamel yang memberikan semangat ketika kurang keyakinan. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Ernie berterima kasih kepada Syamel yang memberikan semangat ketika kurang keyakinan. – NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

 

Ernie turut merealisasikan permintaan peminat yang mahu dia menyanyikan lagu Misteri.

Akui Ernie, Misteri adalah lagu yang sangat dekat dengan hatinya kerana dendangan itu disusun mengikut kehendaknya oleh Anuar.

“Susunan lagu Misteri ini sangat indah dan dramatik.

“Terima kasih kepada pakcik saya (Anuar) kerana beliaulah yang menjayakan susunan yang sangat indah ini,” katanya.

Ernie turut menerima ‘standing ovation’ selepas menyampaikan lagu Ku Bersuara.

Seterusnya peminat dihiburkan dengan persembahan solo Syamel menerusi lagu Hidup Dalam Mati, Lebih Sempurna, Halusinasi, Korban, Bila Kau Tiada dan Bahagia Milik Kita.

Walaupun penonton sering dihiburkan dengan sifat lucunya yang mengundang tawa, Syamel tidak dapat mengelak daripada menitiskan air mata apabila mendendangkan lagu buat arwah ibunya, Bila Kau Tiada.

Syamel sebak apabila menoleh ke belakang dan melihat foto di skrin.

“Setiap kali saya berlatih menyanyikan lagu Bila Kau Tiada, saya menangis dahulu untuk selesaikan perasaan itu.

“Tetapi, saya silap percaturan di atas pentas tadi apabila saya pusing ke belakang. Saya sebenar rancang untuk tidak pandang ke mana-mana.

“Bagaimanapun, saya anggap konsert malam ini adalah suatu persembahan di mana kami menghadiahkan kasih sayang kepada semua orang.

“Saya juga membayangkan ummi ada di sini,” katanya.

Ernie kemudian menutup tirai dengan persembahan istimewa bersama kumpulan dari Indonesia, Govinda iaitu Hal Hebat.

Ditemui usai konsert, Ernie atau nama sebenar, Nur Ernie Shahirah Zakri, 32, mengakui momen dilalui sangat indah.

“Allah sahaja tahu bagaimana perasaan saya sekarang. Saya sudah buktikan dan saya sudah dapat… Alhamdulillah.

“Kesilapan yang ada dalam konsert ini kami buang jauh-jauh dan kami cuba perbaiki. Tetapi apa yang penting, apa yang kami sampaikan semua orang dapat rasa, Insya-Allah,” katanya.

Ernie berterima kasih kepada Syamel yang memberikan semangat ketika dirinya kurang keyakinan.

“Sebenarnya, kesihatan saya tidak berapa mengizinkan dan Syamel beri semangat.

“Syamel beritahu kami boleh lakukan. Konsert sulung ini tekanannya lain macam. Saya tak pernah rasa tekanan seperti ini.

“Selama seminggu saya tak boleh tidur malam, sebab saya banyak perkara yang saya fikir.

“Saya tahu keupayaan saya sekarang, vokal saya tidak seperti dulu di mana sangat berbeza selepas melahirkan anak.

“Perlahan-lahan, saya masih berusaha mendapatkan rentak terutama selepas lapan bulan melahirkan Khawla,” katanya.

 

Walaupun sering dihiburkan dengan sifat lucunya, Syamel tidak dapat mengelak daripada menitiskan air mata apabila mendendangkan lagu buat arwah ibunya, Bila Kau Tiada. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Walaupun sering dihiburkan dengan sifat lucunya, Syamel tidak dapat mengelak daripada menitiskan air mata apabila mendendangkan lagu buat arwah ibunya, Bila Kau Tiada. – NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

 

Sementara itu, Syamel atau nama sebenar, Syameel Aqmal Mohd Fodzly, 29, terharu konsert sulung mereka mendapat sambutan positif.

“Hanya Tuhan yang tahu perasaan kami apabila dimaklumkan tiket konsert ‘sold out’.

“Namun, jujurnya bukan itu yang mahu kami kejar. Sebaliknya, awal-awal kami ragui ada atau tidak orang hendak datang.

“Alhamdulillah, kami gembira. Apabila kami keluar ke pentas dan tengok kehadiran penuh, Alhamdulillah kami gembira.

“Kami terharu melihat sokongan rakan artis sebaya dan penyanyi ‘senior’ seperti Misha Omar.

“Peluang bekerja dengan Aubrey pada konsert ini juga suatu penghormatan,” katanya.

Selain Anuar, Ziana dan Misha, artis lain yang hadir pada konsert itu adalah Nabila Razali, Aina Abdul, Amira Othman, Wany Hasrita, Sissy Imann, dan Sarah Suhairi.

Bertanya mengapa tidak menjemput Anuar dan Ziana tampil di pentas, Syamel dan Ernie berkata, mereka mahu mereka bergembira menyaksikan persembahan mereka.

“Kami mahu mereka hadir sebagai penonton dan menilai kami. Kami ada bertanya apa yang kurang. Alhamdulillah, mereka seronok,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat