Pengarah agensi penguatkuasa ditahan, disyaki terima rasuah sindiket seludup diesel – SPRM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengarah agensi penguatkuasaan di Kuching kerana dipercayai menerima rasuah daripada sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi di Sibu.

Menurut sumber, suspek lelaki yang berusia lingkungan 40-an ditahan di Pejabat SPRM Sarawak kira-kira jam 6.20 petang, hari ini bagi dirakamkan keterangan.

“Suspek dipercayai menerima suapan daripada sindiket berkenaan sebagai balasan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan dan undang-undang terhadap kegiatan penyeludupan minyak diesel di Sibu.

“Tangkapan ke atas suspek ini adalah susulan serbuan dilakukan Bahagian Operasi Khas SPRM menerusi Op Liter di sebuah depoh simpanan minyak di Sungai Bidut, Sibu pada Ahad lalu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009.

Katanya, suspek bagaimanapun dilepaskan dengan jaminan SPRM dengan seorang penjamin.

Harian Metro semalam melaporkan SPRM sudah mula memanggil beberapa pegawai penguat kuasa di Sarawak bagi membantu siasatan sindiket penyeludupan diesel bersubsidi dan merasuah pegawai agensi penguat kuasa bagi mengelak dikenakan tindakan penguatkuasaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, setakat ini tiga individu membabitkan penguatkuasan di Sarawak sudah dipanggil bagi membantu siasatan.

Terdahulu sindiket penyeludupan diesel bersubsidi yang dipercayai menyeleweng bahan milik persatuan nelayan itu serta membayar rasuah kepada penguat kuasa di Sibu, Sarawak, digempur SPRM kelmarin.

Serbuan dijalankan oleh Bahagian Operasi Khas (BOK) dan Skuad Taktikal Khas SPRM di sebuah depoh penyimpanan minyak di Sungai Bidut, Sarawak itu turut menahan lima individu termasuk pengusaha stesen minyak.

Operasi dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menyita dua tongkang serta beberapa tangki minyak yang mengandungi kira-kira 1.6 juta liter diesel. – HMetro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat