JOHOR — Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menegaskan keputusan untuk meninggalkan parti merupakan hak individu dan UMNO tidak mempunyai kuasa untuk menghalang mana-mana ahlinya daripada berbuat demikian.
Beliau berkata demikian kepada Suara TV ketika diminta mengulas tindakan Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi yang mengambil keputusan keluar daripada UMNO.
“Hak individu. UMNO tidak boleh menghalang mana-mana ahli yang hendak keluar parti.
“Namun begitu, saya ingin menasihatkan supaya sebelum mengambil tindakan keluar daripada UMNO, eloklah difikirkan seribu kali. Kadang-kadang kita berada di kedudukan hari ini pun disebabkan oleh parti UMNO.
“Jadi, kena fikir banyak kali. Tetapi UMNO tidak boleh menghalang mana-mana ahli yang mahu keluar daripada UMNO.
“Nasihat saya, kalau hendak keluar daripada UMNO, elok difikirkan banyak-banyak kali sebelum membuat keputusan untuk keluar daripada UMNO,” katanya.
Mengulas sama ada perkembangan itu mampu memberi kesan kepada persiapan Barisan Nasional (BN) menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Wan Rosdy berkata jentera parti akan terus bergerak seperti biasa dan tidak akan terganggu dengan tindakan mana-mana individu.
“UMNO akan terus bekerja seperti biasa. Kita akan terus bekerja kuat kerana kita tidak pernah mengambil mudah mana-mana pilihan raya, sama ada Pilihan Raya Kecil, Pilihan Raya Negeri ataupun PRU.
“Jadi, kita akan terus mendekati rakyat dan penduduk untuk memastikan calon daripada Barisan Nasional menang dalam PRN, khususnya di negeri Johor,” katanya.
Beliau turut menegaskan, tumpuan UMNO ketika ini adalah memperkukuhkan gerak kerja di peringkat akar umbi serta memastikan jentera parti bersedia sepenuhnya menghadapi PRN Johor.


