Media Arus Perdana Harus Seiring Dengan Media Sosial – Johan Jaaffar

KUALA LUMPUR – “Kita (wartawan) harus mencipta diri kita semula dalam senario hari ini untuk kita terus relevan, label tidak penting, kata Tan Sri Johan Jaaffar

Menyedari eko-sistem baharu yang mendominasi media hari ini, Tokoh Wartawan Negara Ke-12 itu berkata wartawan sedang bersaing dengan media sosial yang sifatnya segera, real-time dan tanpa kawalan.

“Kita juga mengakui dalam Resolusi Hawana bahawa media arus perdana harus hidup seiring (co-exist) dengan media sosial.

“Namun demikian kita juga menyedari tuntutan ke atas kebenaran atau truth dalam konteks media arus perdana tidak boleh dikompromi,” katanya dalam ucapan Malam Wartawan Malaysia 2022, Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2021.

Johan berkata, apa yang penting keperluan untuk melihat semula pendekatan bekerja serta pembangunan modal insan yang diperlukan untuk menghadapi keperluan masa ini dan masa depan.

“Malam ini bukan masanya untuk kita mengulangi kegusaran kita tentang hal itu. Malam ini kita mahu melihat ke hadapan.

“Dalam konteks Revolusi Internet orang mulai bercakap tentang kerajaan masa hadapan, juga masa depan pentadbiran awam. Mahu tidak mahu kita juga perlu bercakap tentang media masa hadapan,” katanya.

Beliau menambah, wartawan perlu menjadi mata dan hati rakyat dan memainkan peranan sebagai conscience sebuah negara bangsa.

“Media merupakan tunjang demokrasi, demokrasi tidak akan subur dan matang tanpa media yang bertanggungjawab.

“Kadang-kala para wartawan sendiri lupa peranan yang boleh kita mainkan, beban tanggungjawab yang perlu kita galas dan harapan rakyat kepada kita.

“Kadang-kala juga kita lupa bahawa kita  boleh  membuat perubahan  dalam menentukan hala tuju negara ini,” katanya.