Pulangkan hasil Johor, buktikan keikhlasan Persekutuan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pimpinan negeri Johor berharap Kerajaan Persekutuan perlu menunjukkan komitmen dan keikhlasan untuk memastikan pembangunan negeri pengeluar hasil seperti Johor tidak terus terpinggir.

Setiausaha Umno Johor Datuk Abdul Halim Suleiman menyeru agar semua ahli Parlimen Johor termasuk dikalangan parti pembangkang, bersatu hati dalam membawa isu ini ke peringkat tertinggi.

Tegas Ketua Umno Bahagian Tebrau itu, isu ini melangkaui batas politik kerana ia berkisar tentang hak rakyat Johor.

“Umno Johor menyokong penuh titah Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail yang mahu Kerajaan Persekutuan agar memulangkan semula antara 20 hingga 30 peratus hasil cukai yang dikutip di Johor bagi tujuan pembangunan negeri dan kebajikan rakyat.

“Saya berpendapat gesaan itu bukan sahaja munasabah, tetapi sangat bertepatan dengan realiti semasa, kerana Johor merupakan antara negeri penyumbang hasil terbesar kepada ekonomi negara.

“Johor menyumbang hampir RM50 bilion setahun kepada hasil negara, namun pulangan yang diterima semula oleh negeri tidak sampai RM2 bilion. Jurang ini amat besar dan tidak wajar dibiarkan berlarutan.

“Bagi saya, sudah tiba masanya Kerajaan Persekutuan mengambil tindakan berani dan adil dalam menyusun semula sistem perolehan hasil, khususnya dalam konteks federalisme Malaysia yang seharusnya menjamin keseimbangan pembangunan antara negeri-negeri,” kata Ahli Dewan Negara itu lagi.

Abdul Halim menambah, dengan pulangan hasil yang lebih tinggi, kerajaan negeri mampu melaksanakan pelbagai projek berskala besar yang amat diperlukan oleh rakyat Johor, antaranya penyelesaian isu air, menaik taraf sistem pengangkutan awam, pembinaan hospital dan sekolah baharu serta inisiatif pemuliharaan alam sekitar.

“Kita tidak boleh lagi bergantung kepada bajet tahunan yang terhad sedangkan Johor sedang berkembang pesat. Wilayah Iskandar Malaysia dan Zon Ekonomi Khas Johor -Singapura (JS-SEZ) contohnya, memerlukan pelaburan infrastruktur yang besar. Ini semua memerlukan sokongan kewangan yang lebih kukuh daripada Persekutuan.

“Umno Johor turut menggesa agar Kerajaan Persekutuan segera mempertimbangkan permohonan rasmi yang telah disampaikan oleh Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, kepada Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi baru-baru ini. Dalam permohonan tersebut, Johor mencadangkan pulangan minimum 30 peratus hasil cukai dikembalikan kepada negeri.

“Saya harap permohonan ini tidak tinggal sebagai satu memorandum atas kertas semata-mata. Kerajaan Persekutuan perlu tunjukkan komitmen dan keikhlasan untuk memastikan pembangunan negeri pengeluar hasil seperti Johor tidak terus terpinggir,” katanya sambil menegaskan isu ini melangkaui batas politik.

Ujar Abdul Halim, ia tentang hak rakyat Johor kerana apabila rakyat mendapat infrastruktur yang lebih baik, peluang pekerjaan meningkat dan ekonomi negeri berkembang, semua pihak akan mendapat manfaat.

“Pendekatan Johor ini boleh menjadi model kepada penyusunan semula sistem hubungan kewangan antara negeri dan Persekutuan, sejajar dengan semangat Malaysia Madani yang menekankan keadilan dan kemakmuran bersama,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat