Solat Jumaat Di PWTC Berimamkan Dr Asyraf Wajdi Hari Ini, Kata Ketua Pemuda PAS

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Adakah Muafakat Nasional (MN) antara UMNO dan Pas yang disifatkan nyawa-nyawa ikan sebelum ini akan bertaut kembali?

Itu persoalan yang dilontarkan oleh sebilangan pengikut media sosial Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.

Ia selepas Ahmad Fadhli yang merupakan Ketua Pemuda Pas berkongsi fotonya bersembahyang Jumaat bersama-sama Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki di Surau Ar-Rahman yang terletak di ibu pejabat UMNO hari ini.

Lebih menimbulkan perasaan ingin tahu dalam kalangan pengikutnya apabila Ahmad Fadhli memberitahu Asyraf Wajdi menjadi imam dan beliau memuji suara ketua pemuda UMNO tersebut.

“Solat Jumaat di PWTC hari ini berimamkan Datuk Dr. Ashraf Wajdi, merdu juga suaranya,” kata beliau ringkas dalam perkongsian di Facebook.

Dalam gambar itu kelihatan Ahmad Fadhli memakai pakaian baju Melayu berwarna biru lengkap bersongkok sementara Asyraf Wajdi memakai kemeja lengan panjang berwarna putih.

Kedua-dua mereka kelihatan tersenyum mesra.

Rata-rata pengikut media sosial Ahmad Fadhli yang menyokong MN melihat hantaran tersebut sebagai isyarat positif bahawa kerjasama antara UMNO dan Pas akan berkekalan.

“Bagusnya kalau semua pemimpin Melayu bersatu, buangkan ego masing-masing dan fikirkan nasib rakyat bawahan yang semakin hari semakin susah, mati itu pasti,” kata Mohd. Zarawi.

“Kembali bersama Muafakat Nasional yang berhormat. Ada hikmah apa yang berlaku sebelum ini. Insya-Allah Muafakat Nasional jalan terbaik buat dua parti Islam terbesar Malaysia UMNO dan Pas,” komen Firdaus Zamri.

“Alhamdulillah begini lebih baik daripada terjerit-jerit memburukkan keadaan. Pas ada kelebihan dan UMNO juga ada kelebihan. Tak semua UMNO jahil dan UMNO juga ada orang hebat dalam agama. Begitu juga Pas ada juga yang hebat dalam bidang lain. Perbezaan politik jangan diheret hingga kebencian. Jaga tutur kata supaya elak perselisihan penyokong,” kata Mohd. Fairee Omar.

“Gabungan MN saja akan dapat menyatukan orang Melayu dan Islam. Janganlah khidmat untuk nak jawatan semata-mata. Bantu rakyat dan negara harmoni,” komen Ali Bashar.

Pemimpin UMNO dan Pas menandatangani Piagam Muafakat Nasional pada 14 September 2019.

Piagam itu antara lain bersetuju membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif Islam dan Melayu tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum serta kesejahteraan negara.

Elemen berkenaan terkandung dalam piagam yang ditandatangani oleh Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang pada Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Bagaimanapun kedudukan MN terumbang-ambing dan tidak jelas selepas Perikatan Nasional ditubuhkan dengan Pas mahu terus bekerjasama dengan Bersatu manakala UMNO menolak parti tersebut. – MalaysiaGazette

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat