Saya Calon Terbaik PH Tanding Parlimen Tambun – Aziz Bari

- Advertisement -

IPOH – Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Abdul Aziz Bari yakin, setakat ini, beliau ialah calon terbaik Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Menurutnya, sebagai bekas Exco kerajaan negeri dan Ketua Pembangkang ketika ini, beliau percaya mempunyai peluang lebih cerah untuk menang.

Bagaimanapun, katanya, beliau hanya menyatakan keinginannya untuk bertanding Parlimen Tambun dan belum ada keputusan muktamad mengenainya.

“Kita kena kemukakan calon yang kalau tak sama, lebih kurang sama dengan yang ada. Kita nak rampas dari mereka,” katanya ketika ditemui pada majlis hari raya di kediamannya di sini, hari ini.

Abdul Aziz berkata, sekiranya diberi peluang sebagai calon Parlimen Tambun, beliau juga berhasrat untuk mempertahankan kerusi DUN Tebing Tinggi yang dimenanginya pada PRU14.

Menurutnya, setakat ini tidak ada rundingan bersama parti komponen PH di Perak bagi membincangkan pembahagian kerusi di negeri itu.

“Jawatankuasa pun tak ada, jadi saya tak pasti apa yang dimaksudkan menganggu proses rundingan,” ujarnya.

Terdahulu, Pemuda Amanah Perak meminta semua pihak dalam PH negeri menghormati mandat diberikan kepada Jawatankuasa Perundingan Kerusi dalam menguruskan hal pembahagian kerusi yang akan ditandingi pada PRU15.

Ketuanya, Khairol Najib Hashim berkata, kenyataan terbuka bersifat peribadi harus dielak supaya proses perundingan dihormati dan semua parti dapat menjaga keharmonian dengan membawa apa sahaja isu berkaitan dalam mesyuarat rasmi jawatankuasa tersebut.

Sebelum ini, Abdul Aziz berulang kali secara terbuka menyatakan hasrat untuk bertanding di Parlimen Tambun pada PRU15. – Awani

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,590FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat