KUALA LUMPUR– Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Mohd Razlan Rafii menegaskan bahawa Umno -Barisan Nasional (BN) wajar terus dikekalkan dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan bagi menjamin kestabilan politik serta kesinambungan pembangunan negara.
Menurut beliau, Umno-BN mempunyai rekod prestasi yang kukuh dalam membangunkan negara, khususnya dalam aspek pembangunan infrastruktur, pertumbuhan ekonomi serta kecekapan pentadbiran yang telah terbukti sejak sekian lama.
“Umno-BN bukan sekadar sebahagian daripada kerajaan, tetapi merupakan kekuatan penimbang tara yang penting dalam memastikan kestabilan negara serta melindungi kepentingan rakyat,” katanya menurut Umno Online.
Beliau turut menekankan bahawa pengalaman luas kepimpinan Umno-BN dalam mengurus kementerian dan agensi kerajaan menjadi faktor penting dalam memastikan pelaksanaan dasar negara berjalan secara berkesan dan berterusan.
Tambahnya, Umno kekal komited dalam memperkasa institusi Melayu dan Bumiputera melalui pelbagai agensi seperti MARA dan FELDA, di samping melakukan peremajaan parti agar selari dengan perubahan semasa dan aspirasi generasi muda.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan pendekatan “Rumah Bangsa” yang dicetuskan Presiden Umno adalah usaha memperkukuh penyatuan parti serta mempererat perpaduan rakyat pelbagai lapisan.
Terdahulu, beliau telah merasmikan Persidangan Tahunan Umno Cawangan Taman Desa dalam suasana penuh semangat perjuangan dan kesatuan.
Dalam ucapan perasmian, beliau menjelaskan bahawa sejak hari pertama Umno berada dalam Kerajaan Perpaduan, telah wujud desakan agar parti itu keluar daripada kerajaan.
Namun, beliau berpandangan desakan tersebut tidak mengambil kira implikasi besar terhadap kedudukan serta masa depan orang Melayu dalam pentadbiran negara.
“Sekiranya Umno keluar, maka hilanglah satu suara penting yang berperanan sebagai benteng dan pengimbang dalam mesyuarat kabinet, khususnya dalam memastikan setiap dasar tidak mengabaikan kepentingan orang Melayu,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa Umno bukan parti yang bertindak berasaskan emosi atau tekanan sentimen semasa, sebaliknya mengutamakan tanggungjawab dalam setiap keputusan politik yang dibuat.
“Keberadaan Umno dalam kerajaan hari ini bukan sekadar melengkapkan angka, tetapi menjadi faktor penentu yang memberi nilai tambah kepada anak bangsa dalam memastikan suara Melayu terus didengar dan diterjemahkan dalam bentuk dasar,” jelasnya.
Beliau juga menegaskan bahawa Umno tidak akan menggadaikan kepentingan bangsa demi percaturan politik jangka pendek, sebaliknya terus komited memperjuangkan masa depan generasi akan datang.



