Kerajaan dilobi untuk ulangi kegagalan 3G dan 4G

- Advertisement -

Sejak kebelakangan ini banyak desakan muncul supaya pemborong rangkaian 5G Kedua diwujudkan bagi mencabar ‘monopoli’ Digital Nasional Berhad (DNB). Desakan ini muncul dari pengendali jaringan mudah alih (mobile network operator – MNO) dan mungkin juga para pembekal yang gagal dalam tender terbuka DNB.

Antara alasan yang digunakan adalah kewujudan pemborong kedua akan memastikan inovasi dan adaptasi teknologi 5G di negara ini dapat ditingkatkan melalui persaingan.

Namun persaingan terbuka antara MNO telah gagal dalam pelaksanaan 4G. MNO yang mendapat hak membangunkan spektrum 4G banyak menumpukan perkembangan rangkaian terbabit di kawasan bandar-bandar besar dan berkepadatan tinggi.

Akibatnya penduduk luar bandar di Semenanjung, Sabah dan Sarawak dinafikan hak mereka mendapat liputan 4G berkualiti selama bertahun-tahun sehingga kerajaan terpaksa campur tangan melalui dasar Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Atas sebab itu kerajaan memilih untuk mengguna pakai Pemborong Rangkaian  Tunggal (SWN) 5G bagi menangani isu kelemahan jaringan internet di Malaysia terutama jurang rangkaian antara bandar, pinggir bandar dan luar bandar.

DNB sebagai SWN akan menghapuskan kebergantungan kepada MNO untuk melabur dalam infrastruktur 5G, sekaligus membolehkan mereka menyiapkan kerja-kerja rangkaian 4G yang masih belum siap sampai sekarang menerusi Pelan JENDELA.

Pelantikan pemborong kedua bagi mencabar DNB akan mengancam hasrat merapatkan jurang digital. Pemborong kedua sebagai konsortium MNO sepenuhnya atau kerjasama kerajaan dan MNO akan meletakkan matlamat keuntungan dengan memfokuskan pelancaran 5G di kawasan tinggi permintaan.

Ini bukan sahaja mewujudkan konflik kepentingan antara hubungan konsortium MNO dan DNB, malah DNB dalam model sekarang tidak akan mampu bersaing.

Akhirnya, konsortium MNO sebagai pemborong kedua 5G akan menjadi pemborong tunggal, kita hanya mengikut rentak tari pihak tertentu dengan mewujudkan pelaksana kedua 5G.

Keduanya, model DNB akan menjayakan hasrat kerajaan menjadikan akses internet sebagai kemudahan asas rakyat seperti air dan elektrik,  bukannya sekadar utiliti kehendak gaya hidup.

Oleh kerana dasar kerajaan menjadikan internet sebahagian kepentingan awam ini hanya boleh dijaga menerusi SWN yang kepentingannya dipegang kerajaan.

Pengalaman lalu menunjukkan MNO tidak akan melabur dalam infrasruktur rangkaian tanpa memindahkan kos tersebut kepada pengguna akhir, yakni rakyat.

Disebabkan itulah, harga internet di Malaysia antara tertinggi di dunia. Pada 2018, Malaysia berada di kedudukan 74 daripada 167 negara dalam terma harga per Mpbs untuk perkhidmadatan fixed broadband dan 64 daripada 118 untuk perkhidmatan fiber broadband.

Dalam soal harga kita jauh lebih mahal berbanding negara lain seperti Vietnam, Turki dan Mexico.  Malah untuk harga yang mahal, kelajuan internet Malaysia juga lembap, berada di kedudukan 63 daripada 130 buah negara dunia.

Akibatnya kerajaan terpaksa campur tangan dan melakukan pelbagai perundingan dengan MNO bagi merendahkan pakej internet. Ini adalah amalan tidak sihat kepada dana awam kerana setiap perundingan dan penentuan harga rendah akan membabitkan kos kerajaan.

Malaysia membenarkan MNO melaksanakan 2G, 3G dan 4G tanpa ‘campur tangan’ kerajaan, tetapi apakah kita benar-benar menikmati hasil persaingan yang dicanangkan mereka?

Sebab itu dalam konteks 5G ini kerajaan merangka dasar kepentingan awam yang jelas dan pihak swasta perlu bertindak selari tanpa menjejaskan keuntungan mereka.

Malaysia mahu membetulkan legasi masalah yang terhasil daripada pelaksanaan secara bersendirian infra telekomunikasi mudah alih.

Cubaan pertama membetulkan masalah adalah mempunyai entiti tunggal-DNB-yang bertanggungjawab sebagai pemborong rangkaian tunggal. Ini membolehkan MNO memberi tumpuan memberikan khidmat terbaik kepada pengguna tanpa memikirkan soal infrastruktur yang menelan belanja besar.

Ketiga, Adalah tidak benar DNB sebagai SWN akan menghalang persaingan dan inovasi sehingga merugikan pengguna.

Walaupun DNB bertanggungjawab melaksana rangkaian 5G, industri telekomunikasi masih lagi bebas untuk melabur dan bersaing bagi menyediakan khidmat tambahan bernilai tinggi 5G kepada pengguna. Ini akan mewujudkan saluran perolehan baru dan peluang kepada pertumbuhan industri.

Malahan model kerjasama DNB dengan syarikat telekomunikasi dan penyedia infrastruktur untuk membangunkan rangkaian 5G akan mengoptimumkan penggunaan infra sedia ada. Ini bukan sahaja mengelakkan pertindihan kerja seperti dalam pelaksanaan 4G, malah akan mengurangkan kos keseluruhan pelaksanaan.

Kini MNO boleh menumpukan kepada usaha mempakejkan tawaran akses 5G mereka dengan lebih kompetetif dan kreatif tanpa perlu memikirkan soal kemampuan infra.

Dengan model ini, pengguna juga ada pilihan mendapat pakej 5G lebih baik tanpa bimbang MNO mereka tidak ada di kawasan tertentu dan hebat di kawasan lain.-SUARA.TV

 

 

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat