Polis jaga sempadan Malaysia-Thailand di Kedah diwajibkan pakai baju kalis peluru

KUALA LUMPUR – Polis Kedah bakal mewajibkan pemakaian baju kalis peluru ke atas semua anggotanya yang bertugas di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.

Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah berkata, apabila berlaku sesuatu ancaman, pemakaian baju kalis peluru boleh menjadi suatu keperluan dalam langkah keselamatan anggota terutama di Bukit Kayu Hitam.

Beliau berkata, selain polis, Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam juga menempatkan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang berhadapan risiko ancaman keselamatan.

“Kita menempatkan 141 pegawai dan anggota di Balai Polis ICQS dan mereka bertugas 24 jam untuk melaksanakan pelbagai penugasan dan rondaan dengan dibantu Pasukan Gerakan Am (PGA) di ‘check point’ terakhir masuk ke negara ini.

“Kita keluarkan arahan pemakaian baju kalis peluru kerana ada ancaman sebegini, kita wajibkan. Kita tak gentar dan tak akan berundur disebabkan ancaman cuba menakut-nakutkan walaupun yang menjadi mangsa adalah AKPS.

“Polis tidak akan mengalah dan kita akan bertindak lebih agresif sebab kita tahu di sempadan berlaku penyeludupan migran, dadah dan senjata api, ” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, lapor BH di Alor Setar pada Jumaat.

Adzli berkata, dalam pertemuannya bersama Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasarudin M Nasir, yang diserang Rabu lalu, pegawai kanan itu memaklumkan menyedari sudah diekori.

“Tak mustahil perasaan tidak puas hati berlaku kerana ia membabitkan nilai kerugian yang banyak kerana barangan luar tak boleh masuk. Siasatan mendapati sindiket tidak sasarkan penduduk setempat tapi sasarannya adalah agensi penguat kuasa di sempadan kerana mendatangkan kemudaratan pada aktiviti mereka,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, dalam kejadian jam 5.40 pagi itu Proton X70 yang dinaiki Mohd Nasarudin dipercayai ditembak dengan dua das tembakan awal.

Berikutan itu, polis menahan tujuh suspek terdiri daripada enam lelaki tempatan dan seorang wanita warga Thailand dalam serbuan Op Tutup pada hari kejadian untuk membantu siasatan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat