Pertikai bantuan Syukur RM300 tak cukup, Armizan tanya berbelas tahun berkuasa apa Shafie bagi?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kenyataan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Shafie Apdal dipertikai, ini susulan tindakannya mengkritik pemberian bantuan Sentuhan Kasih Rakyat Sabah (Syukur) oleh Kerajaan Negeri Sabah.

Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, selama berbelas tahun Ahli Parlimen Semporna itu menjadi menteri Persekutuan dan juga Ketua Menteri, tiada pemberian secara konsisten yang diberikan kepada rakyat Sabah.

Katanya, sebagai pemimpin yang berpengalaman Mohd. Shafie seharusnya bercerita tentang rekodnya dan apa yang dilakukan sepanjang menjadi pemimpin Pusat dan negeri.

“Bagi saya, dia (Shafie) boleh cakap apa sahaja yang dia mahu. Biasalah dalam politik, pihak pembangkang memang mencari isu untuk dijadikan modal politik.

“Saya mahu tanya dia dan rakyat juga patut tanya dia. Semasa dia berkuasa, apa yang dia bagi? kalau kita bagi RM300 dikatakan tidak cukup jadi, semasa dia memerintah, ada dia bagi RM300 sebulan? Tidak ada.

“Tapi kerajaan sekarang di bawah pemerintahan Datuk Seri Hajiji Noor kita mulakan langkah beri bantuan sebegini. Tidak pernah kerajaan negeri sebelum ini memberi bantuan bulanan sebegini.

“Memang RM300 itu tidak mencukupi namun, dia kena ingat bantuan ini bukan secara one-off sebaliknya berterusan dan dibayar tiga bulan sekali, RM900,” katanya semasa Program Advokasi Sara Hidup dan pembukaan akaun bank penerima sumbangan Sentuhan Kasih Rakyat Parlimen Papar di Dewan Datuk Salleh Sulong, lapor Utusan Sabah pada Khamis.

Armizan, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata, apa yang dilakukan kerajaan GRS tidak sama seperti yang dilakukan oleh Shafie.

“Apabila dia balik Semporna, orang ramai terpaksa berbaris di rumahnya untuk menerima bantuan.

“Namun, melalui bantuan Syukur, kerajaan memperuntukkan RM358.5 juta untuk disalurkan kepada 100,000 orang penerima yang tersenarai dalam e-Kasih. Jika dikira untuk seorang iaitu RM300 sebulan mungkin nilainya kecil tetapi, ia memberi implikasi kewangan yang besar kepada kerajaan negeri,” katanya.

Katanya, beliau tidak mahu rakyat hanya mendengar hasil kerajaan meningkat tetapi, tidak melihat atau menikmati peningkatan hasil tersebut. Itu sebabnya bantuan Syukur diberikan dan disalurkan secara terus kepada rakyat.

“Itu bukan bantuan gula-gula pilihan raya. Apabila hasil meningkat, kita beri bantuan secara terus kepada rakyat. Mungkin dia cakap RM300 tidak cukup sebab dia mungkin orang berada.

“Tapi bagi sesetengah orang yang menerima RM300, ia memberi makna yang cukup besar kepada mereka,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat