Setahun Titah Addendum: Najib tak layak terima pengampunan, tahanan rumah beri gambaran promosi rasuah – NGO

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Sebarang keputusan untuk Datuk Seri Najib Razak diberi pengampunan atau tahanan rumah sebelum semua kes-kes terhadapnya selesai di mahkamah adalah satu tindakan yang mempromosi dan menormalisasi rasuah.

Dalam kenyataan bersama sekumpulan badan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis mereka berkata, pengampunan dan kelonggaran ini juga akan mewujudkan masyarakat dua darjat di mana orang yang mencuri lebih banyak akan diberi hukuman lebih rendah.

Menurut mereka, keputusan sebegini boleh dianggap menghina kedaulatan undang-undang.

“Ia juga memberi isyarat kepada pelabur dan masyarakat antarabangsa bahawa Malaysia masih menjadi tempat perlindungan untuk gejala kleptokrasi ala 1MDB.

“Hal ini kerana rakyat benci rasuah. Najib tidak layak terima pengampunan atau tahanan rumah,” kata kenyataan itu, pada Khamis.

Kenyataan bersama itu dikemukakan oleh Project Stability and Accountability for Malaysia (Projek SAMA); Coalition for Clean and Fair Electron (BERSIH); Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (HARAM); Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS Malaysia) dan pereka grafik Fahmi Reza.

Gesaan itu diterbitkan sempena ulang tahun pertama Najib diberi pengampunan.

“Setahun yang lalu, hukuman penjara 12 tahun ke atas Najib atas tuduhan rasuah dalam kes SRC International dikurangkan kepada 6 tahun (sebanyak 50 peratus), dan hukuman denda RM 210 juta dikurangkan ke RM 50 juta (sebanyak 76 peratus).

“Hari ini, kami, badan masyarakat sivil dan warga Malaysia, secara tegasnya menyatakan bahawa kami benci rasuah.

“Najib tidak layak untuk menerima belas ihsan – pengampunan atau tahanan rumah – kerana dia telah didapati bersalah atas jenayah rasuah (7 pertuduhan) dan didakwa atas penyalahgunaan kuasa (4 pertuduhan), kesalahan pecah amanah (6 pertuduhan) dan pengubahan wang haram (24 pertuduhan) melibatkan sejumlah RM 8,988,002,678.00.

“Selain itu dia tidak pernah mengaku bersalah dalam mana-mana kes di atas. Sebaliknya dia berulang kali mendakwa dia menjadi mangsa penganiayaan politik; dan
dia menuntut pengampunan dan kelonggaran bagi hukuman yang sudah dijatuhkan oleh Mahkamah untuk kes SRC International sementara tiga kes lainnya masih belum selesai.

“Hanya Parlimen dan Dewan-dewan Undangan Negeri yang mempunyai kuasa menggubal undang-undang di Malaysia. Sebarang undang-undang untuk tahanan rumah mesti dibuat secara telus di Parlimen, bukan melalui sebarang dokumen atau kaedah lain. Undang-undang untuk tahanan rumah mesti secara jelas mengecualikan, antara lain, pesalah-pesalah dalam kes rasuah, penyalahgunaan kuasa, kesalahan pecah amanah dan pengubahan wang haram; pesalah-pesalah yang tidak mengaku bersalah tetapi mendakwa dirinya menjadi mangsa penganiayaan politik atau kesilapan kehakiman; dan/ atau pesalah-pesalah yang masih ada kes-kes berkaitan yang belum selesai,” kata kenyataan itu lagi.

Dalam itu, Peguam Negara Datuk Mohd Dusuki Mokhtar mesti mengarahkan pihak pendakwaan untuk memfailkan semula pertuduhan-pertuduhan baharu terhadap Najib dalam kes International Petroleum Investment Company yang melibatkan RM 6.6 bilion.

“Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim mesti membantu pihak pendakwaan mendapatkan akses kepada dokumen-dokumen yang diperlukan.

“Najib diberi keputusan DNAA (dilepaskan tanpa dibebaskan) oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 27 November 2024 kerana pihak pendakwaan gagal mengemukakan dokumen-dokumen di bawah Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah.

“Menurut pihak pendakwaan, dokumen-dokumen ini adalah Rahsia Rasmi di bawah Kementerian Kewangan. Jika Najib dilepaskan daripada sebarang akauntabiliti kerana kegagalan di pihak pendakwaan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempunyai kuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan berkaitan pelantikan dan tempoh perkhidmatan Peguam Negara, serta ada kuasa untuk membatalkan klasifikasi mana-mana dokumen Rahsia Rasmi di bawah Kementerian Kewangan, harus menanggung sepenuhnya tanggungjawab politik,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat