Mat Sabu didesak letak jawatan, ambil tanggungjawab sindiket campur beras

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Mohamad Sabu sepatutnya mengambil tanggungjawab terhadap isu campur beras putih tempatan dan beras import dengan meletakkan jawatan, kata Ketua Pembangkang.

Menurut Datuk Seri Hamzah Zainudin kerajaan perlu mengambil tindakan tegas selepas kajian mendapati beras tempatan dicampur dalam pek beras import dan kemudian dijual pada harga tinggi di pasaran ketika ini.

Kata Ahli Parlimen Larut itu lagi, jika tiada tindakan diambil dalam masa terdekat, rakyat boleh merancang untuk memilih pemimpin yang lebih baik pada masa akan datang.

“Tindakan harus diambil kepada semua yang melakukan perkara ini dan dalam masa terdekat ini kita mahu melihat ianya berlaku.

“Kalau tidak berlaku rakyat akan mengambil ini sebagai perjuangan mencari pemimpin yang lebih baik pada masa hadapan.

“Rakan-rakan saya (ahli Parlimen pembangkang) kata menteri perlu letak jawatan untuk mengambil tanggungjawab,” katanya ketika sidang media di Parlimen pada Khamis.

Hamzah turut menegaskan apa yang diketengahkan pembangkang sebelum ini adalah fakta yang dibuat demi rakyat.
Semalam, Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) mendedahkan, kajian mendapati kira-kira 50 peratus daripada 5,000 sampel beras import yang dirampas pihak berkuasa telah dicampur beras putih tempatan.

Pegawai Penyelidik Kanan Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi MARDI Mohd Shahril Firdaus Ab Razak berkata, kajian menggunakan teknologi pencapjarian asid deoksiribonukleik (DNA) yang boleh membezakan antara beras putih tempatan dan import.

“Sebanyak 5,000 sampel diambil secara rawak daripada 55 kampit beras yang dirampas. Setiap satu kampit beras, sebanyak 95 sampel telah diambil. Dalam masa antara tiga dan lima hari, kita boleh buat analisis ke atas 950 sampel,” katanya pada sidang media.

Mohd. Shahril Firdaus berkata tempoh kajian bermula penghujung 2023 hingga Mac 2024 sejak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mewujudkan Pasukan Petugas Khas Operasi Bersepadu Beras Putih Tempatan untuk mengenal pasti rantaian beras putih tempatan.

“Laporan kajian kita serahkan kepada pihak berkuasa yang hantar sampel kepada kita iaitu Kawalselia Padi Beras (KPB) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN),” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat