“Duit habis, KPK akan minta lagi daripada MOF demi capai sasaran tanaman semula sawit” – Johari

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan menumpukan usaha memastikan penanaman semula kelapa sawit di Malaysia mencapai sasaran dengan menggunakan sepenuhnya peruntukan sebanyak RM100 juta bagi Program Tanam Semula Sawit 2.0 (TSPKS 2.0) yang disediakan di bawah Belanjawan 2025 menjelang Jun ini.

Menterinya Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, KPK juga bersedia untuk memohon peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta daripada Kementerian Kewangan jika peruntukan yang disasarkan kepada pekebun kecil itu telah habis.

“Proses penanaman semula (kelapa sawit) perlu dilaksanakan jika negara ingin kekal menjadi pengeluar kelapa sawit utama dunia.

“Kita tak boleh biar pokok menua tanpa penanaman semula terutamanya pekebun kecil. KPK akan berusaha membantu pekebun kecil dalam usaha penanaman semula itu.

“Ini bagi mencapai penanda aras penanaman semula kelapa sawit pada minimum empat peratus,” katanya selepas majlis pelancaran buku ‘Agarwood: Diamond Of The Forest’ lapor BH pada Khamis.

Kadar penanaman semula kelapa sawit di Malaysia masih perlahan dengan hanya 114,000 hektar atau dua peratus daripada keseluruhan kawasan tanaman berjaya ditanam tahun lalu.

Jumlah itu berkurangan berbanding 2023, di mana penanaman semula meliputi 132,000 hektar iaitu 2.3 peratus.

Ia juga masih di bawah sasaran tahunan yang disarankan, iaitu empat hingga lima peratus atau sekitar 285,000 hektar setahun.

Dalam perkembangan lain, Johari berkata Malaysia mempunyai potensi besar dalam sektor tanaman gaharu, namun masih terdapat banyak peluang yang belum diterokai sepenuhnya.

Justeru, beliau berkata KPK bercadang menubuhkan satu majlis komuniti kecil di bawah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) bagi melihat pembangunan ekosistem gaharu.

Katanya, hal ini kerana gaharu merupakan salah satu komoditi berharga dengan nilai industri bernilai lebih daripada AS$1 bilion di peringkat global.

“Kita dapat melihat peningkatan permintaan terhadap kayu gaharu ,khususnya dalam industri minyak wangi. Banyak jenama besar mula memasarkan minyak wangi premium dengan nama oud.

“Malah, ekstrak daripada kayu gaharu serta ekstrak daun gaharu juga boleh diaplikasikan dalam bidang perubatan. Situasi ini jelas membuktikan bahawa pokok gaharu digunakan secara meluas dalam penyelidikan dan perniagaan kerana kemampuan pokok ini sebagai sumber utama yang mampu menghasilkan pelbagai jenis produk berpotensi tinggi pada masa hadapan,” katanya.

Mengulas lanjut, Johari berkata, amalan penanaman serta pengurusan yang lestari perlu diberi keutamaan, termasuk melalui penanaman pokok gaharu di ladang-ladang komersial sebagai alternatif kepada pengambilan gaharu liar dari hutan.

Beliau berkata, pihaknya juga percaya usaha untuk merapatkan jurang antara penyelidikan dan industri dapat memberi manfaat kepada peladang, usahawan serta semua pihak berkepentingan meningkatkan produktiviti dan nilai komersial kayu gaharu.

“Usaha ini bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, tetapi turut membantu membina reputasi Malaysia sebagai pengeluar kayu gaharu di peringkat dunia,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat