KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan keyakinan penuh terhadap pemerintahan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 5 tahun akan datang bahawa Malaysia akan diberkati dengan nikmat perpaduan dan kemakmuran yang berpanjangan.
Beliau berkeyakinan bahawa kerajaan dan rakyat akan mendapat limpah rahmat dan kesejahteraan daripada pemerintahan seorang Raja yang adil, bijaksana dan prihatin terhadap rakyat jelata dan negara.
“Saya selaku Ketua Majlis Parlimen ke-15 bagi pihak Dewan yang mulia ini dengan sepenuh ikhlas ingin merafak sembah dengan ucapan
setinggi-tinggi tahniah dan ikrar taat setia Dewan ini dipersembahkan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di
Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
“Saya berkeyakinan bahawa Kerajaan dan rakyat akan mendapat limpah rahmat dan kesejahteraan daripada pemerintahan seorang Raja yang adil, bijaksana dan prihatin terhadap rakyat jelata dan negara.
“Sebagai teras pemerintahan Raja Berperlembagaan, saya amat berkeyakinan dengan pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Agong kelak, Malaysia bakal diberkati dengan nikmat perpaduan dan kemakmuran yang berpanjangan,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.
Sementara itu, Perdana Menteri juga merafak sembah dengan ucapan menjunjung kasih dan setinggi-tinggi penghargaan Dewan ini turut dipersembahkan kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tuanku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang telah menaungi negara dan rakyat jelata selama lima tahun yang lalu dengan penuh adil dan bijaksana.
“Saya yakin seluruh rakyat jelata merasai hikmah keadilan dan kebijaksanaan Tuanku dalam memastikan keamanan dapat dinikmati oleh
seluruh rakyat.
“Semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Tengku Ampuan Pahang serta seluruh kerabat sentiasa dilindungi dan
dilimpahi taufik dan hidayah oleh Allah SWT, dipanjangkan umur, diberkati dengan kesihatan dan sejahtera selalu.
“Moga Tuanku berdua terus dilimpahi dengan segala kehormatan serta kebesaran dan sentiasa dalam perlindungan Allah jua,” ucap Anwar.