KUALA LUMPUR— Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, hari ini mengingatkan semua pihak agar tidak mempermainkan agama Islam demi kepentingan politik, selain menegaskan pentingnya menjunjung Perlembagaan Persekutuan demi mengekalkan keamanan dan keharmonian negara.
Titah baginda, Perlembagaan adalah asas utama kepada semangat kebersamaan dan perpaduan yang dinikmati oleh rakyat Malaysia hari ini.
“Nilai perpaduan erat yang dicapai di negara ini adalah melalui Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan nilai kebersamaan, keadilan kuasa, tanggungjawab dan muafakat.”
Dalam pada itu, Seri Paduka menasihati para pemimpin masyarakat agar tidak mempolitikkan agama, apatah lagi menjadikan pentas dakwah sebagai alat membawa agenda kepartian.
“Sejak dahulu lagi saya tegaskan, pentas dakwah dan medan pengajaran agama Islam tidak wajar dijadikan tempat membawa agenda politik kepartian.
Marilah kita bersama menjaga kesucian agama Islam dan mempertahan perpaduan ummah yang harmoni.”
Sultan Ibrahim turut menegaskan bahawa Islam adalah sistem kehidupan yang lengkap dan sempurna, serta mencakupi seluruh aspek kehidupan umat manusia.
Dalam ucapan sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1447H/2025M, baginda menitahkan bahawa prinsip Islam perlu menjadi teras kepada pemerintahan negara.
“Sebaliknya, mengislamkanlah politik demi kepentingan negara. Ini bermakna, urus tadbir negara mesti berpaksikan syariat Islam, bukan terikut-ikut dengan fahaman sekular atau liberal.”
Majlis tersebut turut diserikan dengan keberangkatan Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar, dan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Seri Paduka juga mengajak kepimpinan negara agar mencontohi sifat-sifat Rasulullah SAW dalam pemerintahan—berhikmah, adil dan melindungi golongan yang lemah.
“Marilah kita berganding bahu membina sebuah negara yang bukan sahaja berjaya di mata dunia, tetapi juga diberkati dan dirahmati oleh Allah SWT.”
Sultan Ibrahim menyeru umat Islam agar memahami peranan penting mereka dalam membina tamadun berlandaskan nilai Islam. Menurut baginda, pembangunan sebenar tidak hanya bersifat fizikal, tetapi juga merangkumi akhlak, ilmu, dan keinsanan.
“Pembangunan sebenar bukan sekadar dari segi fizikal, tetapi turut mencakupi aspek akhlak, ilmu, dan keinsanan.
Orang yang berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwa mereka dijanjikan kedudukan tinggi di sisi-Nya.
Mereka inilah golongan yang benar-benar memperoleh kemenangan.”
Baginda turut menyentuh peristiwa hijrah Rasulullah SAW ke Madinah sebagai contoh besar dalam sejarah Islam yang membawa kepada asas Perlembagaan Piagam Madinah—dokumen yang mengangkat nilai-nilai keadilan, muafakat, dan kepelbagaian.
“Hijrah Rasulullah ke Madinah adalah satu perjalanan bersejarah yang menjadi asas kepada Perlembagaan Piagam Madinah, iaitu dokumen penting yang mendasari prinsip keadilan, muafakat dan kepelbagaian.”
Majlis sambutan Maal Hijrah kali ini bertemakan “Membangun Ummah MADANI”, yang menyeru umat Islam agar mengambil pengajaran daripada peristiwa hijrah untuk membentuk masyarakat yang lebih inklusif, bertamadun dan seimbang dari sudut rohani serta pembangunan negara.