Amanah gila kuasa, tak habis-habis menekan tuntut kerusi – Umno Johor

KUALA LUMPUR – Kerusi DUN Johor bukan harta pusaka mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Justeru, ia tidak boleh dijadikan bahan tawar-menawar politik secara terbuka, apatah lagi dengan ugutan yang boleh menjejaskan kestabilan kerajaan negeri.

Setiausaha Perhubungan Umno Johor Senator Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, ugutan pertandingan tiga penjuru bukan tanda keberanian politik, sebaliknya mencerminkan kegagalan memahami kehendak rakyat.

Tegas beliau, rakyat Johor mahukan sebuah kerajaan yang stabil dan fokus bekerja untuk mereka, bukan kerajaan yang sibuk dengan politik tuntutan kerusi.

“Kenyataan terbuka Parti Amanah Negara oleh Pengarah Komunikasinya Khalid Abdul Samad, berkaitan tuntutan pembahagian kerusi PRN Johor jelas memperlihatkan fokus dan agenda sebenar Amanah iaitu bukan khidmat kepada rakyat, tetapi obsesi terhadap kuasa dan kerusi.

“Sejak tahun lalu hingga ke hari ini, isu yang sama terus diulang. Skripnya tidak berubah: tuntut kerusi secara terbuka, tekan rakan dalam Kerajaan Perpaduan melalui media, kemudian disusuli ugutan pertandingan tiga penjuru. Politik sempit ini mencerminkan sikap gila kuasa yang akhirnya merugikan rakyat Johor.

“Hakikatnya, perkara ini bukan isu baharu. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pimpinan Amanah Johor dengan jelas dan secara terbuka menyatakan bahawa prinsip penyandang atau principle of incumbency tidak terpakai di Johor kerana Pakatan Harapan (PH) dianggap pembangkang, selain menyuarakan rasa kurang senang apabila tiada seorang pun Exco Johor dilantik daripada kalangan PH.

“Kenyataan itu membuktikan pendirian Amanah sejak awal lagi berasaskan mengejar jawatan semata-mata, bukan berpaksikan mandat rakyat,” bidas Abdul Halim.

Menurut beliau, agihan kerusi Pilihan Raya Negeri bukan soal desakan awam atau tekanan politik.

Sebaliknya kata Abdul Halim, ia adalah keputusan kepimpinan tertinggi di peringkat pusat dan negeri, dibuat secara berhemah dan berlandaskan kepentingan rakyat Johor. Mereka paling lantang menuntut kerusi tetapi khidmat kepada rakyat dipandang remeh.

“Realitinya, Barisan Nasional (BN) memerintah negeri ini atas mandat jelas rakyat dalam PRN lalu.

“Keutamaan Kerajaan Negeri ialah memastikan kestabilan politik, kesinambungan dasar dan keberkesanan pentadbiran agar fokus kepada ekonomi, peluang pekerjaan dan kesejahteraan rakyat dapat diteruskan.

“Prestasi serta penerimaan rakyat terhadap Adun sedia ada mesti menjadi asas utama dalam sebarang pertimbangan. Rakyat Johor menilai wakil rakyat berdasarkan prestasi kerja mereka termasuk kekerapan turun padang, menyelesaikan masalah dan menjaga kebajikan kawasan.

“Nasihat kami jelas dan tegas kepada Parti Amanah, fokuslah kepada kerja dan khidmat kepada rakyat, bukan perebutan kuasa. Kerajaan Negeri Johor sedang bekerja dan terus berusaha membela nasib rakyat. Jangan menggugat kestabilan ini hanya kerana gilakan kerusi dan kuasa semata-mata! tegas beliau.

Amanah baru-baru ini menuntut agar rundingan pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor dilakukan secara seimbang dan adil antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), selaras dengan semangat Kerajaan Perpaduan.

Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Abdul Samad berkata, landskap politik semasa di Melaka dan Johor menyaksikan kebanyakan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dikuasai oleh wakil BN susulan perkembangan politik sebelum ini.

“Jika PRN Melaka dan Johor diadakan, sebagai usaha bersama dalam Kerajaan Perpaduan, rundingan kerusi mesti dilaksanakan dengan adil dan saksama untuk semua parti,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat