Kalau Muhyiddin masih Pengerusi, kenapa malas panggil mesyuarat, balas Wan Saiful kepada Tun Faisal

KUALA LUMPUR, – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, yang sebelum ini dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), mempertikaikan kenyataan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin masih mempunyai mandat sah sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Wan Saiful secara sinis berkata, jika benar Muhyiddin masih memegang jawatan tersebut seperti dihujahkan Tun Faisal, maka persoalan utama ialah mengapa beliau tidak segera memanggil mesyuarat Majlis Tertinggi PN bagi membincangkan pengganti selepas pengumuman peletakan jawatan.

“Kalau Muhyiddin masih Pengerusi PN, sebab apa dia tak segera panggil mesyuarat MT PN untuk bincangkan siapa pengganti selepas dia letak jawatan?” soal Wan Saiful dalam kenyataan hari ini.

Beliau menyifatkan tidak pelik Tun Faisal tampil mempertahankan Muhyiddin kerana menurutnya Ketua Penerangan Bersatu itu sudah lama dilihat sebagai individu yang gemar “melambung” bekas Perdana Menteri tersebut.

“Dalam bab melambung Muhyiddin, Tun Faisal sudah layak mendapat anugerah perkhidmatan terpaling cemerlang,” katanya.

Wan Saiful menegaskan seorang Pengerusi PN yang bertanggungjawab sepatutnya segera menyelesaikan isu penting berkaitan kepimpinan tertinggi gabungan itu, bukannya membiarkan kekosongan dan ketidaktentuan berlarutan.

Beliau turut membayangkan kemungkinan wujud muslihat politik sehingga Muhyiddin enggan memanggil mesyuarat, termasuk dakwaan bahawa beliau mungkin sedang mencari ruang untuk melakukan pusingan U dalam keputusan meletak jawatan.

“Janganlah nanti ada yang kata Muhyiddin dan penjilatnya masih tak jumpa muslihat untuk u-turn maka sebab itulah Muhyiddin takut nak panggil mesyuarat,” katanya.

Wan Saiful juga mendakwa Muhyiddin sebenarnya mempunyai masa untuk pelbagai perjumpaan lain, termasuk dikatakan mula aktif memanggil Ahli Parlimen dan ADUN Bersatu bertemu dalam masa terdekat.

“Tiba-tiba sekarang ini rajin pula dia panggil nak jumpa MP dan ADUN Bersatu… Nak melobi pengaruh ke tu?” katanya.

Menurut beliau, kegagalan Muhyiddin menunjukkan minat melaksanakan tanggungjawab sebagai Pengerusi menyebabkan Presiden parti-parti komponen lain terpaksa menghantar surat meminta satu mesyuarat luar biasa Majlis Tertinggi PN diadakan.

Wan Saiful mengakhiri kenyataannya dengan kritikan keras terhadap kepimpinan Muhyiddin.

“Kalau dah tak berdaya buat kerja, jangan susahkan orang lain yang nak bekerja. Itu namanya failed leader,” katanya.

Tun Faisal sebelum ini menegaskan Tan Sri Muhyiddin belum boleh dianggap functus officio kerana perletakan jawatannya hanya berkuat kuasa selepas diluluskan Majlis Tertinggi PN seperti termaktub dalam Perlembagaan PN.

Wan Saiful, yang pernah memegang pelbagai jawatan penting dalam Bersatu sebelum dipecat, kini dilihat semakin lantang mengkritik kepimpinan parti dan hala tuju Perikatan Nasional dalam isu perebutan jawatan Pengerusi gabungan tersebut.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat