Ismail Sabri puji ketegasan DBKL martabat bahasa Kebangsaan, tak tolak ansur

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memuji ketegasan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertindak menurunkan papan tanda bahasa lain di sekitar ibu kota baru-baru ini.

Ahli Parlimen Bera itu menyatakan, langkah ini sewajarnya dijadikan contoh oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara dalam memartabatkan bahasa Kebangsaan.

“Sudah sampai masanya seluruh PBT menggunakan bahasa Melayu dengan menguatkuasakan undang-undang yang dimiliki dan tidak lagi bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang meremehkannya.

“Ia selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menjelaskan bahawa bahasa Melayu adalah bahasa rasmi yang tidak boleh dipertikai fungsi dan peranannya sebagai Bahasa Kebangsaan,” kata beliau dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut Ismail Sabri lagi, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dimantapkan dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1967.

Justeru, tidak ada pilihan untuk tidak menggunakan Bahasa Persekutuan ini pada papan tanda atau dalam urusan di negara ini.

“Malah penggunaan Bahasa Melayu pada papan tanda juga tidak menjejaskan sama sekali kemasukan pelancong.

“Sebagai contoh, negara jiran Thailand menggunakan Bahasa Thai di semua papan tandanya tetapi pelancong tetap ramai berkunjung ke negara tersebut.

“Saya mencadangkan supaya tindakan yang lebih berat dikenakan kepada pihak yang tidak menggunakan bahasa Melayu di papan tanda termasuk golongan yang meremehkan penggunaan Bahasa Kebangsaan ini.

“Kita sudah merdeka lebih setengah abad dan tidak sewajarnya kita masih terperangkap dalam retorik pertikaian bahasa ini kerana ia sudah jelas Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi Malaysia,” tegas Ismail Sabri.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat