KUALA LUMPUR – Paderi sambilan didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan membunuh ibunya sebelum menyumbat mayat mangsa dalam peti sejuk beku sejak tiga tahun lalu.
N Deanesh, 53, didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian ibunya, Catherine Daniel, 77, di sebuah rumah di Taman OUG, Brickfields antara 21 Mac hingga 26 Mac 2021.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan sebat tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, lapor BH pada Selasa.
“Faham,” kata tertuduh yang berada di atas kerusi roda ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @Mohamad Saim.
Mahkamah menetapkan 7 Februari ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat, perubatan dan padanan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurainizatul Farhana Zainal manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Media sebelum ini melaporkan lelaki berusia 50-an dipercayai membunuh ibunya dan menyimpan mayat wanita itu di dalam peti sejuk beku di rumah di Taman OUG, di sini.
Perbuatan suspek terbongkar selepas kediamannya diperiksa pasukan polis yang menerima panggilan daripada lelaki itu kira-kira 9 pagi pada 12 November lalu.
Difahamkan, suspek menghubungi talian kecemasan kerana tidak sihat dan pasukan yang tiba dimaklumkan mengenai mayat ibunya disimpan dalam peti sejuk beku.
Suspek mendakwa membunuh wanita berusia 80-an itu di kediamannya pada Mac 2021.
Polis mengesahkan lelaki itu dipercayai menumbuk dada ibu kandungnya hingga maut sebelum menyumbat mayat mangsa dalam peti sejuk beku sejak tiga tahun lalu di rumahnya.