KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Kedah akan memulakan perlombongan unsur nadir bumi (REE) di sebuah tapak yang tidak melibatkan kawasan hutan simpan.
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tapak berkenaan merupakan tanah milik anak syarikat kerajaan negeri (GLC) dan akan diusahakan pada tahun depan.
Sanusi berkat, projek berkenaan akan menjadi perintis kepada penerokaan REE kerana tidak terikat pada polisi Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) yang tidak membenarkan aktiviti perlombongan dalam hutan simpan.
“Tapak tersebut tidak melibatkan hutan simpan dan kita akan mulakan di situ dahulu sebab tak terikat dengan dasar nombor 12, saya percaya REE akan menjadi sumber pendapatan baharu Kedah,” katanya menjawab soalan tambahan Mohd Suffian Yusoff (Pas-Bandar Baharu) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Aman di Alor Setar pada Selasa.
Sanusi berkata, setakat ini tiga buah syarikat telah diberikan kelulusan lesen meneroka (EL) untuk pengambilan sampel di kawasan terlibat
“Ketiga-tiga syarikat terbabit sudah selesai laksanakan EL di kawasan diluluskan. Salah satu syarikat nyatakan komitmen membawa masuk teknologi REE dari Amerika Syarikat.
“Saya kata jalan dahulu mana boleh, kalau kita tunggu, bila nak keluarkan hasil, sudahlah sangkut EIA untuk kawasan dalam hutan simpan, teknologi lagi dan pelbagai cabaran lain,” katanya lapor Sinar Harian di Kedah.
Menurutnya lagi, kerajaan negeri juga menetapkan syarat kepada syarikat-syarikat yang diberikan kelulusan untuk membina kilang di negeri ini.
“Kita ada beberapa tapak sesuai untuk dirikan kilang REE terutamanya di Gurun dan Kulim. Sektor ini akan menjadi sumber tenaga baharu khususnya dalam teknologi kenderaan elektrik (EV),” ujarnya.
Sanusi berkata, syarikat terlibat juga diminta mengadakan kerjasama dengan GLC bagi membolehkan kerajaan negeri mempelajari teknologi terkini dalam industri REE.
“Kita bukan melombong secara terbuka, pelabur sudah bentangkan kaedah perlombongan yang akan digunakan ialah in-situ leaching (ISL), tidak melibatkan tebangan pokok, hanya gerudi lubang.
“Namun disebabkan ia termasuk dalam aktiviti melombong walaupun kaedah ISL, ia bertembung dengan polisi 12.
“Ada kaedah-kaedah baharu yang gunakan mesin namun mahal dan tidak sesuai digunakan di kawasan hutan yang tanahnya tidak rata,” ujarnya.
Sanusi memaklumkan, perlombongan REE masih belum boleh diteruskan di kawasan hutan simpan dan sekali lagi meminta NRES meminda polisi yang mengikat industri tersebut.
“Mereka tak berani ubah polisi mungkin tiada keberanian untuk buka ruang, sampai bila pun aktiviti melombong tidak akan berlaku secara sah.
“Terdapat 26 lombong haram REE dalam negara namun tidak diambil tindakan. Hanya serang Kedah sebab jadi modal politik saja.
“Dalam mesyuarat Majlis Tanah dan Mineral saya sudah sebut agar Bukit Enggang jadi pilot projek untuk lihat kesan ekstrak REE kepada dirian hutan. Namun hingga kini tiada keputusan,” ujarnya.
Sanusi berkata, permintaan tinggi terhadap mineral ini perlu diambil peluang oleh negara dengan menilai semula beberapa klausa yang mengikat proses perlombongan.
“Permintaan tinggi terhadap REE perlu diambil kesempatan untuk kita buat tawaran. Masa tawaran tinggi, harga mahal tetapi kita tak boleh jual. Apabila pasaran turun nanti, baru boleh jual, tetapi waktu itu kita akan rugi.
“Kesempatan ini perlu jadi pertimbangan untuk buat keputusan tepat supaya sumber mineral yang kita ada mendatangkan hasil maksimum kepada negeri,” katanya.