Sediakan Kupon Makanan Berkhasiat Supaya Kanak-Kanak Tak Terbantut Tumbesaran – Mohamad

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran memperkenalkan kupon atau baucar makanan bagi membolehkan akses kepada makanan berkhasiat bagi keluarga yang paling terkesan,” cadang Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau membangkitkan kebimbangan itu berikutan Malaysia mula mengalami masalah ketidakjaminan makanan.

Kata Mohamad, isi rumah berpendapatan rendah terdedah kepada kehilangan akses untuk sumber makanan yang mencukupi dan berkhasiat pada harga yang berpatutan.

“Semua ini amat membimbangkan kerana 25 peratus daripada kanak-kanak di Malaysia mengalami masalah kurang berat badan atau tumbesaran terbantut disebabkan tabiat pemakanan yang kurang sihat.

“Ini akan menjejaskan potensi pembelajaran serta produktiviti tenaga kerja masa depan. Jika dibiarkan, ia akan mengukuhkan kitaran kemiskinan dan ketidaksamaan antara generasi.

“Sekali lagi saya sarankan pengenalan kupon atau baucar makanan bagi membolehkan akses kepada makanan berkhasiat bagi keluarga yang paling terkesan,” syor Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi.

Mohamad yang juga ADUN Rantau mendesak kerajaan supaya menangani isu peningkatan harga makanan dengan segera.

“Pemantauan harga mesti dilaksanakan dengan agresif. Jangan biarkan apa jua bentuk memanipulasi harga pasaran berlaku.

“Perkasakan sistem maklumat pasaran untuk makanan dan bangunkan kesedaran pengguna untuk memantau harga pasaran,” tegas Mohamad.

Jelas beliau, kapasiti pengeluaran makanan negara mesti setanding dengan negara pertanian serantau di ASEAN.

Kini menurut Mohamad, pengeluaran sumber makanan negara masih bergerak pada kadar perlahan disebabkan penggunaan teknologi rendah, cabaran kawalan penyakit, perubahan cuaca, dan kerugian lepas-tuai yang tinggi.

“Inovasi dan penyelidikan serta pembangunan (R&D) untuk membina ketahanan terhadap faktor cuaca yang tidak menentu serta perubahan pasaran adalah pelaburan penting bagi memastikan sekuriti makanan negara akan lebih lestari dan terjamin.

“Kita perlu membangunkan semula sektor agromakanan yang telah lama dipinggirkan disebabkan penekanan kepada sektor perindustrian mulai tahun 1980an,” kata beliau.

Mohamad menambah, situasi ini mengakibatkan rakyat terus terbeban dengan harga sayur yang naik mendadak melebihi dua kali ganda.

“Kenaikan ini menyusul selepas kenaikan harga ayam dan telur yang secara keseluruhannya memaparkan kos sara hidup yang semakin meningkat saban tahun.

“Saya faham bahawa fenomena kenaikan harga adalah norma pasaran dan dipengaruhi oleh lebihan permintaan atau penawaran, faktor cuaca serta kos pengangkutan.

“Namun, kenaikan keterlaluan amat membebankan rakyat, terutamanya yang terhimpit akibat kehilangan mata pencarian,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat