KUALA LUMPUR, – Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) hari ini memohon maaf atas kesilapan yang berlaku dalam siaran langsung sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Penyiaran, RTM menjelaskan siasatan dalaman mendapati berlaku kesilapan oleh pengulas siaran apabila menyebut nama Presiden Republik Indonesia sebagai Joko Widodo, sedangkan Presiden Indonesia yang baharu ialah Prabowo Subianto.
RTM memandang serius perkara itu dan memaklumkan tindakan sewajarnya telah diambil terhadap kesilapan tersebut.
“RTM dengan ini memohon maaf kepada Presiden dan Kerajaan Republik Indonesia serta semua pihak yang terkesan akibat kesilapan ini,” menurut kenyataan itu.
Jabatan Penyiaran juga memberi jaminan akan memperkukuh kawalan editorial serta semakan fakta bagi memastikan setiap maklumat yang disampaikan dalam siaran rasmi adalah tepat dan berintegriti.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Bahagian Perhubungan Awam, Jabatan Penyiaran Malaysia.



