KUALA LUMPUR, – Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menegur cara sambutan terhadap Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi tadi yang disifatkannya sebagai “terlalu meriah” dan tidak melambangkan sensitiviti terhadap dasar luar Amerika yang menindas umat Islam.
Dalam satu kenyataan di akaun Facebook rasminya, Dr Asri berkata beliau tidak menentang kehadiran Trump ke Malaysia atas urusan rasmi sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, namun sambutan dengan tarian dan keceriaan melampau memberi isyarat yang salah terhadap penderitaan yang diakibatkan oleh dasar agresif pentadbiran beliau.
“Saya tiada masalah untuk menyambut Trump sebagai seorang ketua negara yang hadir atas urusan diplomatik dan pentadbiran antara kerajaan. Sambut sekadarnya. Namun, sambutan yang terlebih meriah dengan tarian dan segala macam, bagi saya tidak melambangkan bantahan kita terhadap tindakan jahat beliau selama ini,” tulisnya.
Beliau menambah bahawa di negara-negara Eropah, Trump mungkin akan disambut dengan bantahan rakyat, namun di Malaysia beliau turun “sambil menari kegembiraan kerana anak-anak Malaysia menyambut beliau dengan tarian”.
Mufti Perlis itu turut mengecam kekejaman yang disokong oleh dasar dan veto Amerika di bawah pentadbiran Trump, termasuk bantuan senjata kepada rejim yang melakukan penindasan terhadap umat Islam.
“Genosid dan segala bantuan senjata dan veto yang beliau gunakan untuk membolehkan itu semua berlaku bagai tiada kesan ke atas dirinya di negara-negara orang Muslim. Menyedihkan,” ujarnya.
Sebelum ini, tular video yang menunjukkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Trump beramah mesra serta menari bersama penghibur tradisional Malaysia sewaktu ketibaan Trump di KLIA untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN.-SUARA.TV



