PUTRAJAYA – Juruterbang bersama kesemua lima penumpang dalam sebuah helikopter yang terbabit kemalangan udara berhampiran Tanah Rata, Cameron Highlands, tengah hari tadi, ditemui selamat.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata mangsa memerlukan rawatan susulan dan telah dibawa ke hospital.
“Saya memantau keadaan yang dikemas kini oleh CAAM dari semasa ke semasa. Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU), Kementerian Pengangkutan, akan menjalankan siasatan lanjut berhubung nahas itu.
“Saya turut mengarahkan pegawai berkaitan untuk menambah baik dan mengekalkan pemeriksaan pematuhan keselamatan dalam kalangan pengendali swasta dalam industri penerbangan tempatan. Mereka perlu lebih berwaspada, lebih-lebih lagi dengan faktor cuaca buruk ketika ini,” katanya dalam kenyataan melalui Facebook beliau, hari ini.
Terdahulu, BH melaporkan sebuah helikopter dinaiki enam individu, termasuk lima pegawai perubatan, melakukan pendaratan cemas di kawasan hutan berhampiran Tanah Rata dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari tadi.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri, dipetik berkata berdasarkan maklumat awal, semua mangsa terbabit dilaporkan selamat tetapi mengalami kecederaan susulan pendaratan cemas yang terpaksa dilakukan akibat cuaca buruk.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Chester Voo, dalam satu kenyataan ringkas pula mengesahkan kesemua lima penumpang dan seorang juruterbang menaiki helikopter jenis Airbus AS 355 F2 dengan nombor pendaftaran 9M-SSW terbabit kini berada dalam keadaan stabil.
“Empat daripada enam mangsa itu dilaporkan mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan lanjut,” katanya. – BH