Bekas Ahli Parlimen DAP Umum Tanding Bebas Selepas Tidak Dicalonkan Semula

- Advertisement -

BENTONG – Penyandang Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack membuat keputusan bertanding atas tiket Bebas setelah DAP memilih Young Syefura Othman atau Rara untuk bertanding di kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Beliau turut mengumumkan keluar DAP selepas merasakan dirinya dikhianati oleh parti itu.

“DAP sebelum ini mencapai persefahaman antara kami bahawa saya sebagai Pengerusi Himpunan Hijau akan bertanding sebagai calon Parlimen Bentong di bawah tiket DAP.

“Hari ini DAP telah memutuskan untuk menamatkan persefahaman ini dan dengan itu saya mengumumkan bahawa akan bertanding dalam PRU15 bagi Parlimen Bentong berpaksikan tiket rakyat,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Parlimen Bentong di sini hari ini.

Hari ini DAP mengumumkan pencalonan Young Syefura yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ketari sebagai calon kerusi Parlimen Bentong.

Pada PRU14, Wong Tack merampas kerusi Parlimen Bentong daripada Barisan Nasional (BN) selepas menewaskan Datuk Seri Liow Tiong Lai dengan majoriti 2,032 undi.

PRU14 menyaksikan tsunami politik apabila Wong Tack berjaya mendapat 25,716 undi manakala Tiong Lai (23,684 undi) dan calon Pas N. Balasubramaniam (5,706 undi).

Dalam pada itu Wong Tack berkata, buat masa ini, beliau belum memutuskan logo yang akan digunakan.

Katanya, beliau juga tidak meletakkan apa-apa strategi selain terus memberikan khidmat kepada rakyat dan bertemu masyarakat akar umbi.

“Saya tekankan bahawa rakyat sendiri yang patut membuat keputusan mengenai masa depan dan nasib mereka, pilihan di tangan kita,” ujarnya. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat