COVID-19: Peningkatan Kes Memaksa Sepanyol Isytihar Darurat

- Advertisement -

MADRID: Sepanyol mengisytiharkan darurat di negara itu dalam usaha membendung gelombang kedua COVID-19 ketika Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan peningkatan kes baharu tiga hari berturut-turut di seluruh dunia.

Dengan pengisytiharan dibuat pada Ahad itu, perintah berkurung dilaksanakan di seluruh negara kecuali Kepulauan Canary.

Perdana Menteri, Pedro Sanchez dalam ucapan yang disiarkan di televisyen menyifatkan situasi dilalui negara itu sangat ekstrem.

Langkah itu disepakati pada awal pagi Ahad dalam mesyuarat Kabinet yang mengambil masa dua setengah jam selepas menerima desakan daripada pentadbir wilayah yang menuntut kuasa untuk mengenakan perintah berkurung di kawasan masing-masing.

Menerusi kenyataan dikeluarkan negara itu, perintah berkurung pada waktu malam akan bermula pada jam 11 malam dan berakhir jam 6 pagi.

Walaupun darurat pada awalnya hanya berlangsung selama 15 hari, kerajaan merancang untuk meminta Parlimen melanjutkannya selama enam bulan, kata kenyataan itu.

Bagaimanapun, Sanchez mengatakan darurat dapat ditarik lebih awal daripada yang dijangkakan jika keadaan mengizinkan.

“Darurat adalah kaedah paling berkesan untuk menurunkan kadar jangkitan,” katanya.

Pada Rabu, Sepanyol menjadi negara Eropah pertama merekodkan lebih sejuta kes jangkitan COVID-19 dengan hampir 35,000 kes kematian.

Berikutan itu, pihak berkuasa meminta bantuan daripada 10 wilayah Sepanyol dan bandar Melilla, menurut kenyataan itu.

Dalam keadaan darurat, wilayah-wilayah berkenaan memiliki kuasa untuk menyekat pergerakan keluar masuk dari wilayah mereka, dan juga dapat melanjutkan tempoh masa perintah berkurung bergantung keadaan setempat.

Sebelum ini Sepanyol melaksanakan perintah berkurung daripada 15 Mac hingga 21 Jun lalu dan langkah itu antara yang paling ketat dilaksanakan di Eropah.

Sanchez mengatakan bahawa dia berusaha dengan apa cara sekalipun untuk mengelakkan penutupan kedua. – AFP

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat