KUALA LUMPUR- Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.36 Pelangai melahirkan keyakinan terhadap sokongan yang diterima daripada masyarakat Orang Asli setempat.
Datuk Amizar Abu Adam berkata, ini hasil daripada pertemuan bersama masyarakat Orang Asli di dua perkampungan semalam.
“Alhamdulillah saya dapat jumpa Orang Asli di dua kampung ini (Kampung Ulu Semei dan Kampung Gapoi) memberi impak yang sangat besar (undi pada PRK) terutama sekali orang kampung boleh nampak Barisan Nasional ini.
“Dia masih terkenang, teringat Barisan Nasional ini tetap di hati mereka sebab Barisan Nasional ini yang membantu banyak Orang Asli ini sampai ke tahap ini.
“Kalau kita tengok di dalam ini (perkampungan Orang Asli) banyak perumahan-perumahan dan banyak lagi yang telah dilaksanakan,” lapor Pahang Media pada Isnin.
Sementara itu, mengulas mengenai kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang mendakwa Felda kini bukan lagi kubu kuat Umno beliau berkata dua calon yang bertanding pada PRK kali ini merupakan orang Felda.
“Itu biasa. Saya ni tak mahu komen sangat sebab yang bertanding ini dua-dua orang Felda. Kalau dia kata kubu kuat, saya orang Felda, saya tahulah kekuatan Felda itu di mana. Insya-Allah kita saksikan nanti,” ulas beliau.
Amizar turut melahirkan keyakinan akan ada perubahan undian kepada BN daripada pengundi Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya kali ini.
“Itu sudah semestinya. Dalam konteks kebersamaan Kerajaan Perpaduan, itu adalah salah satu objektif yang telah kita laksanakan dan perjalanan kita nampak lebih akrab, lebih tersusun,” katanya.
Beliau sebelum itu telah mengadakan ziarah kasih di Penempatan Agropolitan Chemomoi sebelum menyantuni masyarakat Orang Asli Ulu Semei, semalam.